'Itu bukan Muhammad Adib, tapi anggota lain'

Mohd Hazim menunjukkan gambar rakaman video yang didakwa adalah Muhammad Adib, sebaliknya itu adalah dirinya.
Mohd Hazim menunjukkan gambar rakaman video yang didakwa adalah Muhammad Adib, sebaliknya itu adalah dirinya.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) nafi kecederaan anggotanya, Muhammad Adib Mohd Kassim disebabkan kemalangan jalan raya.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid mempersoalkan adakah pihak terbabit mempunyai bukti Muhammad Adib dilanggar?

Menurutnya, paparan seorang anggota berada di belakang jentera didakwa itu adalah Muhammad Adib adalah salah, sebaliknya itu adalah Mohd Hazim Mohd Rahimi iaitu salah seorang pegawai di lokasi kejadian.

"Saya ingin menyatakan di sini perkara ini masih dalam siasatan polis dan saya tidak mahu campur adukkan perkara ini agar tidak mengganggu siasatan.

"Usah buat kenyataan tidak berasas dan tidak betul kerana orang yang membuat tuduhan ini tidak ada di lokasi ketika kejadian. Kita tak terlibat dalam kitaran politik disebabkan mereka. Kita hanya laksana tugas dan kita telah beri kerjasama baik untuk siasatan dan kita percaya polis jalankan siasatan dengan baik," katanya dalam sidang media di Institut Jantung Negara (IJN), tadi.

Mohammad Hamdan berkata, kenyataan itu sangat tidak berasas kerana ada individu cuba memutar cerita.

Katanya, pihaknya akan membuat laporan polis berhubung dakwaan tidak berasas ini.

Mohammad Hamdan (dua, kanan) bersama Mohd Hazim (kanan) dalam sidang media di IJN menafikan dakwaan kecederaan Muhammad Adib disebabkan kemalangan.
Mohammad Hamdan (dua, kanan) bersama Mohd Hazim (kanan) dalam sidang media di IJN menafikan dakwaan kecederaan Muhammad Adib disebabkan kemalangan.



Tambahnya, apa yang penting masa ini adalah Muhammad Adib kembali stabil bagi memudahkan proses siasatan dijalankan dan berharap pihak yang menular berita tidak betul ini dikenakan tindakan undang-undang.

Artikel Berkaitan:


Sementara itu, Mohd Hazim berkata, semasa tiba di tempat kejadian, tugasnya akan turun dari jentera dan akan ke bahagian hose reel.

"Sebelum sempat ambil, kami telah diserang oleh perusuh dengan senjata. Saya ambil tindakan selamat, rasakan nyawa lagi penting dengan melarikan diri dan masuk ke dalam jentera EMRS.

"Tapi ada pihak salah tafsir bahawa orang yang di belakang jentera itu adalah Muhammad Adib, tapi itu adalah saya," katanya.

Hari ini, Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman mendakwa kecederaan yang dialami Muhammad Adib adalah disebabkan oleh kemalangan jalan raya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: 'Adib dilanggar, bukan dipukul' ]

Setiausahanya, VK Regu berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila jentera milik JBPM cuba mengundurkan kenderaannya sebelum melanggar mangsa terlibat.

"Apabila JBPM cuba untuk ke depan, terdapat kenderaan yang terbakar dan mereka terus mengundurkan jentera kerana bimbang berlaku letupan.

"Tanpa disedari terdapat anggota di belakang kenderaan itu dan jentera itu telah melanggar mangsa berkenaan," katanya.