Wang RM114 juta disita dari Pavilion Residences milik UMNO: Peguam

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin diberitahu bahawa wang tunai sebanyak RM114 juta yang disita oleh polis pada 2018 dari Pavilion Residences adalah milik UMNO dan pendakwaan gagal membuktikan bahawa ia mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam, Datuk Hariharan Tara Singh, yang mewakili UMNO, berhujah bahawa wang yang disita itu adalah sumbangan politik milik UMNO dan Datuk Seri Najib Tun Razak telah mencari sumber serta menguruskan dana parti tersebut.

“Dalam laporan polis dan afidavitnya (Najib), beliau mengesahkan bahawa wang itu disimpan bagi pihak UMNO. Oleh itu, kami mempunyai kepentingan yang sah dalam menuntut wang tunai tersebut,” katanya pada pendengaran permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings oleh pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Pendakwaan memfailkan permohonan itu bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Wang dan barang kemas itu dirampas oleh pihak berkuasa kerana didakwa terbabit dengan skandal dana 1MDB.

UMNO dan Najib antara yang memohon untuk menjadi pihak ketiga bagi menuntut aset dan wang yang disita oleh pihak berkuasa dari Pavilion Residence di Kuala Lumpur pada 2018.

Mana-Mana pihak ketiga yang mempunyai kepentingan ke atas aset dan wang yang disita perlu tampil ke mahkamah dan memberikan tunjuk sebab mengapa barangan terbabit tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

Pada prosiding pada Isnin, Hariharan turut berhujah perkara paling penting ialah pegawai penyiasat kes pengubahan wang haram perlu menunjukkan bukti dari segi dokumen seperti penyata bank 1MDB bagi menyokong fakta bahawa aset serta wang terbabit berasal daripada 1MDB atau anak syarikatnya dan aliran aset serta wang yang sama dari 1MDB ke entiti lain.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, pegawai penyiasat gagal berbuat demikian susulan ketiadaan penyataan bank dalam mana-mana afidavit pemohon bagi membuktikan bahawa ia datang dari 1MDB atau anak syarikatnya. Ketiadaan dokumen terbabit menyebabkan kes pemohon secara keseluruhannya adalah tidak mempunyai sokongan," katanya.

Najib adalah bekas Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional pada 2018.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, pula berhujah bahawa anak guamnya berkata jumlah wang tunai yang dirampas ialah RM160 juta.

"Datuk Seri Najib dalam laporan polisnya menyatakan bahawa sebenarnya wang tunai berjumlah RM160 juta telah disita dari Pavilion Residence. Dalam permohonan ini, mengapa hanya ada RM114 juta?

"Ini mengejutkan. Jika kita lihat kepada senarai carian oleh polis, tindakan polis tidak menyatakan jumlah wang tunai yang disita dari Pavilion Residence adalah tidak mematuhi Kanun Tatacara Jenayah," katanya.

Pada 11 Mac lepas, peguam Tania Scivetti yang juga mewakili UMNO, berhujah bahawa pegawai penyiasat kes pengubahan wang haram iaitu Superintenden Foo Wei Min, dalam hujahan bertulis pendakwaan berkata wang tunai yang disita dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44 adalah hasil pemerolehan haram daripada 1MDB kerana ia disimpan dalam 35 bagasi di tempat sama dengan barang kemas, jam tangan serta beg tangan berjenama yang disita oleh pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

"Hasil siasatan Superintenden Foo, beliau merumuskan bahawa oleh kerana wang tunai itu ditemukan di dalam 35 bagasi di tempat sama dengan barang kemas, jam tangan serta beg berjenama, secara automatik ia adalah aset yang diseleweng daripada dana 1MDB,” katanya sambil menambah rumusan itu adalah tidak logik dan oleh yang demikian, tiada bukti yang dikemukakan kepada mahkamah bagi menunjukkan perkaitan antara dana yang diseleweng daripada 1MDB dengan wang tunai yang disita dari Pavilion Residences.

Perbicaraan bersambung pada 29 Mac bagi mendengar jawapan pendakwaan terhadap hujah UMNO dan Najib. - Bernama - Bernama