Warga emas maut ditikam penagih

Pisau lipat digunakan untuk menikam mangsa dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Pisang, Lahad Datu.
Pisau lipat digunakan untuk menikam mangsa dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Pisang, Lahad Datu.
A
A
A

LAHAD DATU - Selepas 30 hari bertarung nyawa akibat ditikam, seorang wanita warga emas akhirnya meninggal dunia di Hospital Tawau pada jam 9.03 pagi Ahad.

Mangsa berumur 81 tahun sebelum itu cedera parah ditikam di bahagian leher dalam satu kejadian pada 12 Februari lalu dalam satu kejadian di sebuah rumah di Kampung Pisang.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, suspek yang juga warga asing berusia 21 tahun yang dituduh di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Lahad Datu pada 5 Mac lalu akan didakwa semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, susulan kematian mangsa.

"Suspek dituduh di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Lahad Datu pada 5 Mac selain turut dituduh di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan dijatuhkan hukuman penjara enam bulan serta tiga sebatan, namun selepas mangsa disahkan meninggal dunia, kes ini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Rohan berkata, hasil siasatan mendapati motif kejadian dipercayai akibat suspek marah kepada mangsa kerana dikatakan enggan memberi syabu kepada suspek.

Katanya, ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Mengulas kejadian terbabit katanya, seorang jiran mangsa terdengar bunyi bising di luar rumah sebelum keluar dan ternampak mangsa cedera di bahagian leher.

Beliau berkata, mangsa sempat memberitahu dia ditikam menggunakan objek tajam oleh seorang lelaki dan kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu sebelum dirujuk ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Susulan daripada maklumat itu katanya, pada 13 Februari kira-kira jam 12.30 tengah malam di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pisang, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah berjaya menahan seorang lelaki warga asing.

"Suspek yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah mengaku mencederakan mangsa menggunakan pisau lipat dan membuangnya di kawasan belakang rumah mangsa," katanya.

Beliau berkata, polis turut menemui senjata terbabit dipercayai digunakan untuk menyerang mangsa dalam kejadian tersebut hasil bantuan anjing pengesan.