Lelaki, wanita ditahan berhubung kejadian baling bom petrol

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki dan wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian membaling bom petrol (molotov cocktail) di hadapan sebuah rumah di Taman Cahaya Masai di sini awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berumur 30 dan 28 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.30 Ahad malam dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, di sini, susulan laporan daripada mangsa yang juga lelaki tempatan berumur 30 tahun.

“Mangsa menerusi laporan polis mendakwa dibaling bom petrol terbabit di hadapan rumahnya kira-kira jam 9 pagi, 4 Mac lalu yang mengakibatkan kebakaran pada hadapan rumah dan kenderaannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Sohaimi berkata, selain penahanan itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios, dua tong plastik, satu botol plastik, satu botol aluminium serta satu corong plastik daripada lelaki dan wanita terbabit.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati lelaki itu memiliki tiga rekod jenayah dan satu rekod berkaitan dadah manakala suspek wanita pula memiliki satu rekod jenayah, namun, kedua-duanya negatif terhadap dadah.

Menurut Mohd Sohaimi, siasatan awal mempercayai kedua-dua mereka juga terlibat dengan beberapa kes membaling bom petrol dan cat di sekitar kawasan Seri Alam.

“Perbuatan terbabit bermotifkan tuntutan hutang terhadap sesuatu pihak dan kedua-duanya diupah dengan kadar bayaran tertentu oleh pihak pemberi pinjaman wang tidak berlesen,” katanya.

Katanya, suspek lelaki direman hingga 20 Mac manakala suspek wanita direman hingga 17 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api. - Bernama

Artikel Berkaitan: