MARDI lancar Pelan Antirasuah organisasi 2021-2025

Abu Kassim (tengah) pada Majlis Pelancaran Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) Mardi 2021-2025 di Ibu Pejabat Mardi hari ini. -Foto Bernama
Abu Kassim (tengah) pada Majlis Pelancaran Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) Mardi 2021-2025 di Ibu Pejabat Mardi hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pada Isnin melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2021-2025 dengan fokus kepada enam bidang keutamaan iaitu kewangan, penyelidikan, pemindahan teknologi, tadbir urus, pentadbiran dan pembangunan kapasiti sumber manusia.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Nor berkata, pelan itu akan membantu MARDI menangani isu tadbir urus (governans), integriti dan antirasuah secara menyeluruh, selain tindakan undang-undang diambil terhadap individu yang sengaja menyebabkan ketirisan, pemborosan atau pembaziran dana kerajaan.

Beliau berkata pelaksanaan OACP itu amat signifikan dalam mencerminkan usaha MARDI untuk terus menyokong kerajaan dan aspirasi rakyat Malaysia bagi membentuk sebuah negara yang bebas rasuah dengan warganya membudayakan ketelusan, akauntabiliti dan integriti.

"Pelan ini diharap akan menjamin reputasi dan prestasi MARDI sebagai sebuah agensi kerajaan daripada pelbagai penemuan ketidakakuran peraturan yang sedang berkuat kuasa, tohmahan rasuah dan tatakelakuan dalam kalangan warga MARDI," katanya ketika melancarkan OACP MARDI itu di sini.

Menurutnya, OACP itu dibangunkan melalui kaedah analisis teliti berdasarkan pangkalan data dan perancangan senario untuk mengenal pasti bidang keutamaan yang memerlukan perhatian serius dan seterusnya menetapkan pelan tindakan yang praktikal berdasarkan inisiatif yang akan diambil dalam memantapkan tadbir urus, integriti dan antirasuah untuk tempoh lima tahun.

Mohamad Roff berkata, MARDI akan mengadakan jerayawara di kesemua 32 stesennya di seluruh negara bagi memastikan setiap warga MARDI memahami bahawa pelan OACP itu adalah sebagai langkah pencegahan.

Bekas Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang turut hadir pada majlis itu berkata OACP MARDI merupakan langkah proaktif untuk mencegah dan memastikan isu tadbir urus, integriti dan antirasuah dikendalikan secara pencegahan, iaitu tindakan diambil sebelum perkara itu berlaku.

Menurut Abu Kassim, kegiatan rasuah boleh juga berlaku di agensi yang dikategorikan sebagai berisiko rendah, bermaksud kebarangkalian pelakuan rasuah tidak setinggi seperti di agensi yang lain mungkin kerana dananya tidak sebesar agensi lain.

Artikel Berkaitan:

"Risiko rendah tidak bermakna tiada pelakuan rasuah dan tidak bermakna tiada kemungkinan ia berlaku, kerana itu kerajaan membuat keputusan bahawa semua kementerian dan jabatan kerajaan, tidak kira apa pun mesti mempunyai pelan antirasuahnya sendiri," kata Abu Kassim. - Bernama