Kerajaan fail rayuan keputusan kes kalimah ALLAH

Mahkamah Tinggi
Mahkamah Tinggi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Notis rayuan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Salinan notis itu turut diberikan kepada Pendaftar Mahkamah Rayuan dan firma peguam yang mewakili wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill.

Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun mengesahkan rayuan itu.

Dalam notis rayuan difailkan oleh Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, ia menyatakan rayuan itu dibuat selepas tidak berpuas hati terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin pada 10 Mac lepas.

“Perayu (Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia) merayu kepada Mahkamah Rayuan terhadap keseluruhan keputusan tersebut,” kata notis itu.

Hakim Nor Bee sebelum ini mendengar kes itu semasa menjadi Hakim Mahkamah Tinggi. Kini beliau adalah Hakim Mahkamah Rayuan.

Dalam keputusannya, Nor Bee memutuskan kalimah ALLAH boleh digunakan dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Artikel Berkaitan:

Selain kalimah Allah, tiga lagi perkataan yang dibenarkan dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah Kaabah, Baitullah dan solat.

Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata, arahan oleh KDN pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan itu menyalahi undang-undang dan tidak rasional.

Isu ini bermula 13 tahun lepas apabila Jill Ireland memulakan permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan CD (cakera padat) yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008, sebaik tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

CD berkenaan bertajuk ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’, ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’ dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’.

Wanita itu memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar penyitaan CD tersebut serta memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Mahkamah Tinggi benarkan penganut Kristian guna kalimah ALLAH