Edar borang daftar vaksinasi bantu warga emas

Hsiao Leung (kiri) mengedarkan borang pendaftaran vaksinasi dan risalah penerangan kepada penduduk warga emas di Pangsapuri Limau Manis.
Hsiao Leung (kiri) mengedarkan borang pendaftaran vaksinasi dan risalah penerangan kepada penduduk warga emas di Pangsapuri Limau Manis.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Masih ramai individu belum mendaftar sebagai penerima suntikan vaksin Covid-19, terutama warga emas yang tidak mengetahui saluran untuk berbuat demikian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung berkata, sehubungan itu, pihaknya melancarkan kempen vaksinasi untuk membantu pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 kepada penduduk di Kadun Bukit Tengah, khususnya warga emas.

Menurutnya, menerusi kempen itu, pihaknya menyediakan borang pendaftaran suntikan vaksin dan risalah penerangan yang diadaptasi daripada aplikasi MySejahtera dan laman sesawang rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita menyasarkan golongan berisiko tinggi seperti warga emas berumur 60 tahun dan ke atas.

"Walaupun kerajaan menyediakan beberapa kaedah pendaftaran seperti aplikasi MySejahtera, laman web dan talian telefon, namun golongan warga emas memerlukan bantuan dari segi maklumat dan pendaftaran,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Hsiao Leung berkata, borang dan risalah itu dikepilkan bersama dan diedarkan kepada semua penduduk dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kadun Bukit Tengah.

“Sebagai permulaan, saya bersama MPKK Bukit Tengah mengedarkan borang dan risalah tersebut kepada penghuni di Pangsapuri Limau Manis dan mendapat sambutan baik daripada penduduk. Saya gembira dapat membantu dan memberi perkhidmatan kepada penduduk untuk pendaftaran vaksinasi ini,” katanya.

Menurutnya, kempen itu mendorong bukan sahaja warga emas tetapi semua lapisan masyarakat untuk mendaftar bagi memastikan keadaan pulih seperti sedia kala dan kehidupan kembali normal.

Artikel Berkaitan:

“Borang pendaftaran dan risalah akan diedar kepada setiap keluarga di Kadun Bukit Tengah, kita turut adakan penerangan tentang vaksinasi dan kepentingan divaksinasi.

"Orang ramai boleh menghantar semula borang pendaftaran yang diisi kepada MPKK yang akan membuka kaunter dalam masa terdekat,” katanya.

Hsiao Leung berkata, inisiatif itu dilancarkan untuk meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap keberkesanan dan keperluan imunisasi vaksin berkenaan.

Katanya, ia juga penting untuk menggalakkan seramai mungkin individu divaksinasikan bagi memperoleh perlindungan diperlukan dalam mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat setempat.

Pihaknya turut memulakan pengambilan sukarelawan untuk memberi sokongan kepada kakitangan kerajaan mengendalikan pusat-pusat vaksinasi agar efektif dan lancar.

Hsiao Leung berkata, terdapat tiga pusat vaksinasi di daerah Seberang Perai Tengah iaitu SP Arena, Tapak Ekspo Seberang Jaya dan Dewan Serbaguna Taman Chai Leng, dengan sasaran pemberian vaksin kepada 1,500 orang sehari atau 45,000 orang sebulan.