PKP di Nabawan, Sabah dilanjutkan hingga 30 Mac

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR- [DIKEMAS KINI] Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Nabawan, Sabah dilanjutkan mulai 17 Mac hingga 30 Mac, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, keputusan itu turut dibuat setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan panduan KKM.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 3,079 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 279 kes telah direkodkan. Bagaimanapun, KKM mengesahkan masih terdapat baki 872 sampel saringan yang belum mendapat keputusan,” katanya.

Mengulas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP, Ismail Sabri berkata, seramai 458 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP dengan 438 daripadanya dikenakan kompaun, tujuh direman manakala 13 lagi diikat jamin.

Beliau berkata, aktiviti pusat hiburan mencatat kesalahan tertinggi melibatkan 260 individu diikuti rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (90) dan gagal menyediakan peralatan serta merekod diri dan pelanggan (40).

Mengenai kawalan sempadan negara menerusi Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata lapan pendatang tanpa izin ditangkap manakala empat kenderaan darat dirampas.

Bagi saringan pekerja asing pula, beliau berkata seramai 2,506 orang telah menjalani ujian saringan dan dua daripadanya disahkan positif Covid-19.

Secara kumulatif, seramai 618,486 pekerja asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 32,002 majikan. - Bernama

Artikel Berkaitan: