Permohonan biasiswa Yang di-Pertuan Agong dibuka 5 petang ini

Permohonan BYDPA dibuka pada jam 5 petang ini.
Permohonan BYDPA dibuka pada jam 5 petang ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Permohonan bagi Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) tahun 2021 untuk pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di dalam dan luar negara dibuka bermula jam 5 petang hari ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan pada Isnin berkata, permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang permohonan secara dalam talian (online) melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my sehingga tarikh tutup pada 9 April 2021.

Kata JPA, tarikh akhir bagi mengemukakan borang permohonan yang lengkap secara serahan tangan atau pos pada 9 April 2021.

"BYDPA menawarkan sebanyak 12 biasiswa iaitu enam untuk pengajian di peringkat Sarjana dan enam untuk pengajian di peringkat PhD di institusi pengajian tinggi tempatan atau universiti terkemuka dunia yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian.

"Bidang pengajian di bawah penajaan BYDPA ialah Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-Undang dan Kewangan Islam," kata kenyataan itu.

Menurut JPA, keutamaan diberikan kepada calon yang mendapat keputusan akademik amat cemerlang iaitu Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) sekurang-kurangnya 3.75 atau kelas pertama atau setaraf dengannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda atau Sarjana.

JPA berkata, keutamaan juga diberikan kepada calon yang mempunyai keupayaan luar biasa seperti penguasaan pelbagai bahasa, kebolehan istimewa, aktif dalam aktiviti kemasyarakatan atau menghasilkan kerja kreatif dan inovatif.

Jelasnya, calon yang telah mendapat tawaran atau memulakan pengajian pada tahun penajaan di universiti penyelidikan tempatan atau universiti terkemuka di dunia turut diberi keutamaan.

Artikel Berkaitan:

"Syarat kelayakan lain permohonan BYDPA adalah warganegara Malaysia dan berumur tidak melebihi 35 tahun pada tahun memulakan pengajian.

"Calon yang memenuhi syarat permohonan serta melepasi saringan lanjut pihak JPA akan di senarai pendek untuk menghadiri temu duga," katanya.

Sebarang maklumat lanjut mengenai penawaran ini, sila layari portal http://esilav2.jpa.gov.my atau hubungi talian 03 – 8885 3879 / 3569 pada setiap hari bekerja mulai jam 9 pagi hingga 5 petang atau emel kepada penawaranldp@jpa.gov.my.