Kantoi sewa kereta edar dadah

Arifai (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dengan tertangkapnya seorang lelaki di Sri Gombak, Selangor pada Khamis.
Arifai (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dengan tertangkapnya seorang lelaki di Sri Gombak, Selangor pada Khamis.
A
A
A

GOMBAK - Aktiviti seorang lelaki mengedar dadah dengan menggunakan kereta sewa terbongkar selepas diberkas dalam serbuan di Sri Gombak, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, serbuan kira-kira jam 1 petang itu berjaya merampas lima bungkusan disyaki mengandungi dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat satu kilogram setiap satu.

“Dianggarkan dadah bernilai RM225,000 itu boleh dibekalkan kepada 10,000 penagih dadah.

"Siasatan mendapati suspek berusia 28 tahun itu telah mula aktif sejak dua bulan lalu dan bergerak dengan menggunakan kereta sewa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, pada Isnin.

Arifai berkata, polis percaya bekalan itu diperoleh di Lembah Klang dan pasaran juga di kawasan sama (Lembah Klang).

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek kini direman selama tujuh hari bermula sehingga 18 Mac ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, dengan penahanan suspek, pihaknya berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di daerah Gombak.

“Pada masa sama, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek berkenaan terbabit dengan rangkaian pengedaran dadah di luar Lembah Klang,” katanya.

Artikel Berkaitan: