Wujudkan 'blueprint' cegah masyarakat terjerumus Macau Scam

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disarankan untuk mewujudkan satu 'blueprint' sebagai inisiatif mencegah dan mendidik masyarakat agar tidak mudah terjerumus dengan aktiviti Macau Scam atau apa jua bentuk penipuan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, usaha itu perlu dilaksanakan di semua peringkat sama ada dari sekolah hingga ke tempat kerja supaya ia tidak semakin membarah dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, seluruh lapisan masyarakat wajar memainkan peranan dalam memerangi golongan scammer (penipu) ini.

"Golongan pendidik dan agamawan juga boleh memainkan peranan mereka dalam memberi teguran dan tunjuk ajar agar masyarakat lebih memahami apakah bentuk aktiviti yang menjurus kepada penipuan (scam) tersebut serta kesannya terhadap sosio-ekonomi dan sosio-budaya masyarakat kita.

"Masyarakat perlu sedar bahawa sindiket Macau Scam tidak mengenal mangsa, paling menyedihkan apabila bangsa sendiri sanggup mengkhianati sesama bangsa hanya kerana sifat tamak dan pentingkan diri untuk menjadi kaya dalam sekelip mata dengan cara mudah.

"Statistik jumlah kerugian dan kebangkrapan akibat penipuan ini wajar didedahkan kepada umum atau dibentangkan dalam sidang Parlimen setelah Parlimen dapat dibuka nanti," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Muhammad Faiz berkata, beliau turut menyeru supaya pihak istana menarik balik segala darjah kebesaran yang biasanya digunakan oleh individu kenamaan atau golongan VVIP untuk menyakinkan orang ramai agar menyertai 'bisnes'nya yang berunsur penipuan tersebut.

"Jika ada VVIP yang terlibat dalam aktiviti jenayah ini, maka saya harap agar bukan saja tindakan perundangan diambil tanpa rasa takut, malah darjah kebesaran yang dianugerahkan padanya juga ditarik balik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, beliau berkata, tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengecam perbuatan melepaskan Orang Kena Tuduh (OKT) yang terlibat dalam aktiviti penipuan 'Macau Scam' di Pulau Pinang oleh seorang pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis DiRaja Malaysia (PDRM) negeri tersebut adalah tepat.

"Perbuatan pegawai ini jelas sekali satu pengkhianatan terhadap agama, bangsa dan negara. Pelakunya wajar dihukum keras!

"'Mereka yang terbukti terlibat dengan 'scammer' wajar dihukum penjara dan dibuang kerja, bukan sekadar ditukarkan tempat kerja.

"Keseriusan pihak PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam mengesan, menangkap, dan mendakwa para pesalah Macau Scam wajar dipuji serta disokong segenap lapisan masyarakat," kata beliau.

Jelasnya, sudah tiba masanya aktiviti penipuan ini terutama yang dilakukan secara atas talian, diperangi habis-habisan.