Periksa semua ladang ternakan ayam dan itik: CAP

Mohideen
Mohideen
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa menyiasat semua ladang ternakan ayam dan itik di negara ini bagi memastikan pemiliknya mematuhi peraturan keselamatan makanan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tindakan itu perlu dibuat bagi memantau kaedah ternakan yang digunakan termasuk risiko yang mungkin menyumbang kepada pencemaran Salmonella Enteritidis.

Menurutnya, kerajaan juga perlu menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyiasat kelemahan sistem pemantauan negara membabitkan keselamatan makanan.

"Laporan berulang mengenai produk makanan Malaysia yang tidak selamat oleh pihak berkuasa negara luar jelas menunjukkan pemantauan keselamatan makanan kita masih belum mencukupi.

"Tindakan pihak berkuasa Singapura mengarahkan telur dari sebuah ladang di Kuala Selangor ditarik balik jelas menunjukkan penduduk Malaysia dianggap pengguna kelas kedua apabila membabitkan soal keselamatan makanan," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Isnin.

Pada Sabtu, Singapura telah mengarahkan empat pengimport menarik balik pasaran telur yang dihasilkan dari sebuah syarikat di Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga.

Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam laman sesawang mereka menyatakan, arahan itu dibuat berikutan penemuan bakteria Salmonella Enteritidis (SE) pada produk terbabit yang jika dimakan secara mentah atau separuh masak boleh mengakibatkan penyakit.

Susulan laporan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar memaklumkan hanya satu daripada 10 ladang kepunyaan Lay Hong Berhad iaitu CES 008 yang mengeksport telur ke Singapura sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai perkara itu, Mohideen berkata, agak pelik kejadian seperti itu tidak dikesan oleh pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu walaupun dianggarkan penduduk negara ini mengambil 30 juta telur sehari.

Katanya, tidak mustahil ramai pengguna Malaysia telah termakan telur yang tercemar tanpa mereka sedari.

"Bakteria Salmonella Enteritidis diketahui boleh menyebabkan cirit-birit, sakit perut, demam, loya dan muntah-muntah.

"Undang-undang utama yang mengawal keselamatan makanan di negara ini adalah Akta Makanan 1983, Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Tujuannya melindungi orang ramai daripada penipuan dan bahaya berkaitan makanan untuk menggalakkan persediaan, pengendalian, pengedaran yang selamat dan penjualan makanan berkualiti tinggi dan sihat,"katanya.

Beliau berkata, memandangkan keselamatan makanan perlu dikekalkan daripada pengeluaran hingga kepada pengambilannya, banyak kementerian dan agensi perlu terlibat dalam proses ini.

Jelasnya, antara agensi yang terlibat seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian, pihak berkuasa tempatan dan Kastam (untuk import dan eksport makanan).

ARTIKEL BERKAITAN: Satu ladang sahaja terbabit isu telur tercemar: DVS