Undi rakyat tidak lagi berharga: Mat Sabu

Tangkap layar hantaran di Faceboook Mohamad pada Isnin.
Tangkap layar hantaran di Faceboook Mohamad pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menyifatkan undi rakyat Malaysia tidak lagi mempunyai harga kerana tindakan sesetengah ahli Parlimen yang boleh dijual beli dan bertukar-tukar parti.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, sistem demokrasi di Malaysia memberikan kuasa kepada rakyat untuk menentukan parti yang akan menjadi kerajaan melalui peti undi namun perkara itu tidak lagi berlaku kerana sistem sedia ada tidak lagi dihormati oleh mereka yang dipilih oleh rakyat ketika pilihan raya.

“Rakyat menjadi penentu untuk mengangkat parti-parti tertentu menjadi pemerintah melalui peti undi. Inilah sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia tetapi sistem ini telah hancur.

"Wakil-wakil rakyat boleh dijual beli dan bertukar tukar parti setelah memenangi pilihan raya dengan undi rakyat. Undi rakyat tidak lagi berharga,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Malaysia supaya bertindak segera untuk menegakkan kembali asas sistem amalan demokrasi negara.

Katanya, usaha memulihkan demokrasi negara turut penting dalam memastikan keselamatan negara daripada ancaman luar.

“Apabila wakil rakyat boleh dijual beli di pasaran politik negara, maka tidak mustahil wakil rakyat juga boleh dibeli di peringkat antarabangsa dan ia merupakan ancaman kepada negara.

“Oleh itu kita semua rakyat Malaysia perlu bertindak segera meletakkan kembali asas demokrasi untuk mengembalikan keharmonian hidup rakyat Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan: