Akta 446: 59 majikan berdepan tindakan mahkamah

M Saravanan pada sidang media berkenaan pendakwaan kes akta standard minimum perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja 1990 (Akta 446) di Kementerian Sumber Manusia pada Isnin. - foto Bernama
M Saravanan pada sidang media berkenaan pendakwaan kes akta standard minimum perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja 1990 (Akta 446) di Kementerian Sumber Manusia pada Isnin. - foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kira-kira 59 majikan bakal didakwa di mahkamah di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) Pindaan 2019, bulan ini susulan 124 kertas siasatan yang telah dibuka, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

"Antara pertuduhan yang bakal dikenakan adalah mengikut Seksyen 24D, Seksyen 24H, Seksyen 24J, dan Peraturan 3 dan Peraturan 4 di bawah Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020, katanya.

Pertuduhan bagi Seksyen 24D adalah ketiadaan perakuan penginapan dan Seksyen 24J pula gagal menyediakan penginapan berasingan untuk pekerja berlainan jantina.

Saravanan dalam sidang akhbar di sini pada Isnin berkata, siasatan kes melibatkan pelbagai sektor antaranya pembuatan sarung tangan getah dan perabot, pembinaan, peruncitan dan perkilangan di Semenanjung.

"Semua majikan dan penyedia penginapan berpusat yang masih belum lagi membuat permohonan Perakuan Penginapan diingatkan segera berbuat demikian bagi mengelakkan tindakan tegas di bawah Akta 446," katanya.

Sebelum dipinda pada 2019, Akta 446 hanya mencakupi aspek perumahan dan penginapan pekerja sektor perladangan yang melebihi 20 hektar serta perlombongan, namun kini undang-undang tersebut dikuatkuasakan ke atas semua sektor selain memperuntukkan peraturan baharu berhubung standard perumahan dan kemudahan pekerja.

Sepanjang penguatkuasaan Akta 446 di bawah pindaan Ordinan Darurat pula, Saravanan berkata sebanyak 3,256 majikan telah diperiksa melibatkan 17,576 penginapan bagi tempoh 26 Februari hingga 11 Mac lalu, dengan lapan kertas siasatan telah diberi izin kompaun.

Ordinan Darurat yang berkuat kuasa sejak 26 Februari lalu antara lain mengeluarkan arahan kepada majikan dan penyedia penginapan berpusat untuk menyediakan penginapan sementara kepada pekerja bagi mana-mana penginapan yang difikirkan tidak sesuai dan tidak selamat untuk didiami manusia.

Artikel Berkaitan:

Majikan dan penyedia penginapan berpusat yang gagal mematuhi arahan tersebut boleh didenda sehingga RM200,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

“Kami masih memberi ruang kepada syarikat untuk memperbaiki kelemahan mereka dengan mengambil kira kelembapan ekonomi akibat Covid-19. Apabila kami telah menyediakan kertas siasatan, kami juga meneliti dan memperhalusi kedudukan kewangan syarikat terbabit,” katanya. -Bernama