Tajaan Da Ma Cai calar imej PDRM

Dr Noraini
Dr Noraini
A
A
A
SHAH ALAM - Kos lawatan Ketua Polis Negara , Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan 16 pegawai tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Turki yang ditanggung syarikat nombor ramalan, Da Ma Cai disifatkan mencalarkan imej badan penguatkuasaan tersebut.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, pendedahan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai isu berkenaan semalam secara tidak langsung menjejaskan nama baik polis kepada umum.

“Kesannya, ia akan menimbulkan spekulasi dalam kalangan masyarakat termasuk mempersoalkan tujuan Da Ma Cai yang merupakan syarikat judi dan loteri menaja lawatan kerja terbabit.

“Pada masa sama, kenyataan Guan Eng itu menyinggung perasaan umat Islam di negara ini memandangkan lawatan kerja pegawai kanan polis yang ditaja syarikat judi adalah bertentangan syarak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu turut menyatakan,dakwaan Guan Eng yang tidak mengetahui kos perbelanjaan lawatan tersebut diuruskan Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia syarikat di bawah Kementerian Kewangan sama sekali tidak bertanggungjawab.

“Kerajaan PH sepatutnya memastikan sebarang penajaan perlu dirujuk dengan menteri dan kementerian berkaitan terlebih dahulu.

“Apatah lagi, isu ini melibatkan pihak PDRM sebuah institusi keselamatan barisan hadapan negara yang menegakkan undang-undang,” jelasnya.

Semalam Guan Eng mendedahkan bahawa kos lawatan Mohamad Fuzi dan beberapa pegawai kanan polis ke Turki tidak ditanggung dan diluluskan oleh pihak Kementerian Kewangan tetapi mendapat sumber kewangan daripada Da Ma Cai.

Artikel Berkaitan: