X

Kindly register in order to view this article
!

PDRM sasar 20-30 peratus pengambilan bukan bumiputera, orang asli

Abdul Hamid ketika ditemubual bersama Bernama di Wisma Bernama hari ini.
 - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyasarkan 20 hingga 30 peratus jumlah keanggotaan daripada kalangan bukan bumiputera serta orang asli untuk membentuk satu pasukan yang lebih dinamik dalam usaha menegakkan undang-undang dan menjaga keselamatan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pengambilan lebih ramai bukan bumiputera dan orang asli penting kerana ia akan mengatasi masalah komunikasi bagi menyelesaikan pelbagai kes yang dikendalikan pasukan polis.

“Saya takut nanti keanggotaan dalam PDRM terdiri daripada 95 peratus bumiputera termasuk Sabah dan Sarawak, perkara itu nanti tidak nampak cantik dan harapan tinggi tidak boleh diletakkan kepada kami untuk bergerak sebagai sebuah pasukan yang dinamik.

“Mungkin 20 peratus atau 30 peratus mengikut komposisinya. Saya mengalu-alukan (keanggotaan bukan bumiputera) sebab lagi bertambah kepelbagaian keanggotaan dalam PDRM lagi cepat kita dapat bergerak, tiada halangan dalam komunikasi,” katanya semasa ditemu bual di sini pada Isnin.

Menjelaskan mengenai jurang peratusan kaum itu, Abdul Hamid berkata, setakat ini sejumlah 1.9 peratus kaum Cina dan tiga peratus kaum India menganggotai PDRM daripada kira-kira 123,000 pegawai dan anggota polis seluruh negara manakala jumlah keanggotaan dalam kalangan orang asli dilihat semakin berkurangan.

Ketua Polis Negara berkata, dalam usaha menegakkan undang-undang dan menjaga keselamatan negara, PDRM memerlukan pengorbanan, sumbangan dan penyertaan daripada setiap kaum dan menurutnya, pihaknya menghadapi masalah mendapatkan tenaga kerja dalam kalangan bukan bumiputera sejak tahun 2010 lagi.

Menyedari ketandusan kaum bukan bumiputera dalam pasukan itu, beliau berkata, PDRM telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Kita telah buat beberapa syor dan berbincang dengan pihak JPA. Selepas sekian lama dan banyak kali berunding, JPA merumuskan bahawa ia boleh melonggarkan syarat, tetapi mengenakan pula syarat-syarat lain.

“Syarat kemasukan itu dilonggarkan tetapi selepas menyertai latihan mereka akan dikenakan syarat lain yang ketat iaitu dalam tempoh enam tahun masuk polis mereka wajib lulus peperiksaan seperti yang dikehendaki,” katanya.

PDRM sebelum ini membuka pengambilan khas bagi jawatan Konstabel Polis Gred YA1 melibatkan bukan bumiputera serta jawatan Konstabel orang asli Gred YP1.

Pengambilan khas bukan bumiputera memberikan kelonggaran kepada mana-mana individu tidak memperolehi kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) untuk memohon, dan selepas diterima, dalam tempoh enam tahun kemudiannya mereka mesti lulus dan meningkatkan komunikasi serta pemahaman dalam Bahasa Melayu.

Hamid berkata, pemohon yang layak akan melalui pelbagai fasa latihan bersama anggota serta pegawai selain berinteraksi sesama mereka dalam Bahasa Melayu, dan ini pasti akan memberikan mereka pendedahan penuh kepada Bahasa Melayu, sekali gus menjadikan mereka mampu lulus mata pelajaran terbabit dalam tempoh enam tahun itu.

Bagi pengambilan orang asli pula, Abdul Hamid berkata, pihaknya juga membuat rayuan kepada JPA supaya melonggarkan syarat berhubung tahap ketinggian mereka.

“Saya minta tahap ketinggian mereka diturunkan lagi (untuk diterima) dan pihak JPA ketika ini berkata, perkara itu akan dipertimbangkan tetapi berhubung penyertaan bukan bumiputera dalam PDRM, JPA telah buat keputusan.

“Saya akan pastikan bahawa dalam tempoh enam tahun itu sistem pemantauan akan dibangunkan supaya mereka ini benar-benar mematuhi syarat-syarat JPA, enam tahun mereka mesti lulus, mereka kena berusaha,” tegasnya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!