Langgar SOP: 13 individu dikompaun RM10,000

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 13 individu dikenakan kompaun RM10,000 di negeri ini kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, antara kesalahan yang dikesan seperti tidak memakai pelitup muka dan rentas negeri tanpa kebenaran.

Menurutnya, tindakan juga diambil terhadap individu yang gagal mengimbas aplikasi MySejahtera atau merekodkan butiran diri serta tidak mengambil bacaan suhu badan.

"Sejak Khamis lalu sehingga Ahad, seramai 13 orang telah dikompaun RM10,000 atas kesalahan dan kegagalan mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dalam tempoh PKPB di negeri ini.

"Daerah Seberang Perai Utara mencatatkan jumlah orang kena kompaun tertinggi iaitu 10 orang manakala Seberang Perai Tengah (dua orang) dan Timur Laut (seorang)," katanya pada sidang media di sini pada Isnin.

Sahabudin berkata, kesemua mereka yang dikompaun boleh mengemukakan rayuan kepada Pegawai Kesihatan Daerah masing-masing dan bergantung pada budi bicara pegawai terbabit menentukan jumlah sebenar kompaun tertakluk kepada kesalahan dilakukan.

Sebelum ini, kerajaan mewartakan jumlah kesalahan kompaun terhadap mereka yang melanggar SOP sebanyak RM10,000 berbanding RM1,000 sebelum ini susulan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan bermula pada Khamis.

Artikel Berkaitan: