Isu jeti Tanjung Bruas: Nasib nelayan masih samar

ADUN Pantai Kundor, Nor Azman menujukkan pelan pemanjangan Jeti Tanjung Bruas yang membabitkan lima fasa ketika sesi taklimat itu di Pejabat Tanjung Bruas Sdn Bhd di sini pada Isnin.
ADUN Pantai Kundor, Nor Azman menujukkan pelan pemanjangan Jeti Tanjung Bruas yang membabitkan lima fasa ketika sesi taklimat itu di Pejabat Tanjung Bruas Sdn Bhd di sini pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Lebih 300 nelayan Melaka Selatan termasuk yang berdaftar merayu kerajaan negeri campur tangan dalam isu tambakan laut dan pembinaan jeti pelabuhan sepanjang 600 meter di Tanjung Bruas.

Ia susulan tiada situasi menang-menang selepas pertemuan di antara wakil nelayan bersama wakil pengurusan Tanjung Bruas dan Kumpulan Melaka Berhad (KMB) di Pejabat Tanjung Bruas di sini pada Isnin.

Ketua Komuniti Nelayan Tanjung Kling, Aziz Japar, berkata, pihaknya terkejut apabila projek penambakan laut yang dirancang secara berperingkat lima fasa itu bukan membabitkan 600 meter tetapi 750 meter dan pertemuan empat mata di antara pihak berkenaan didakwa tidak memberi jaminan nasib nelayan yang terjejas akan terbela seperti pemberian pampasan yang setimpal.

"Nelayan tidak menolak pembangunan tetapi jangan pinggirkan atau menafikan hak mereka.

"Mereka cuma beritahu akan berunding dengan kerajaan negeri dan kita berharap ada kaedah untuk membantu," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat itu.

Hadir sama, Pengurus Besar Tanjung Bruas Port Sdn Bhd, Mohamad Nizam Ibrahim; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Melaka Berhad (KMB), Ir Khairul Izuan Harun dan Pegawai Lembaga Pelabuhan Melaka, Kamal Ariffin Idris.

Sinar Harian Jumaat lalu, menyiarkan lebih 300 nelayan di perairan Tanjung Kling gusar apabila mata pencarian mereka terjejas akibat projek penambakan laut dan pembinaan jeti pelabuhan berhampiran Jeti Nelayan Kampung Hailam sejak awal bulan ini.

Mereka mendakwa, projek pembinaan jeti pelabuhan sepanjang 600 meter bermula di Tanjung Bruas itu telah menyukarkan nelayan turun ke laut hinggakan ada di antara nelayan terpaksa menangkap ikan sehingga hampir ke Pulau Besar.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Aziz berkata, beliau bersedia bertemu Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali agar projek fasa seterusnya sepanjang hampir 600 meter dibatalkan.

"Setakat ini pada fasa pertama tahun 2017 telah diluluskan pemanjangan jeti 50 meter itu pun tidak dimaklumkan kepada nelayan dan saya harap permohonan mereka untuk fasa seterusnya dibatalkan, jika tidak nelayan akan terus hilang punca pendapatan dan tidak dapat turun ke laut," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hasan memberitahu akan membantu mengaturkan pertemuan nelayan bersama Ketua Menteri bagi penyelesaian isu berkenaan supaya pendapatan golongan terbabit tidak terus terjejas.

Beliau difahamkan pengurusan Jeti Tanjung Bruas akan membuat permohonan 750 meter pemanjangan jeti membabitkan lima fasa yang dijangka siap 2026.

"Saya harap ada kaedah yang boleh kita bantu nelayan seperti pembinaan kelong agar boleh menambah pencarian seperti membawa kaki pancing atau pelancong," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Nelayan dakwa projek jeti pelabuhan jejas mata pencarian