Kakitangan Imigresen lepaskan OKT Macau Scam ditahan

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Empat lelaki termasuk seorang kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia ditahan bagi membantu siasatan kes sekumpulan pegawai polis yang dikatakan melepaskan orang kena tuduh (OKT) berkaitan kes Macau Scam pada Februari lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, keempat-empat lelaki itu ditahan secara berasingan di Pulau Pinang selepas dipercayai terlibat dengan urusan untuk mengeluarkan OKT daripada tahanan polis.

Menurutnya, empat pegawai polis termasuk dua berpangkat Asisten Superintendan yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Timur Laut turut ditahan bagi siasatan kes berkenaan.

"Kita sedang menganalisa semua dokumen termasuk daripada jabatan lain bagi melengkapkan siasatan kes ini.

"Siasatan akan dimajukan kepada pihak pendakwa raya dalam masa terdekat dan buat masa ini kesemua pegawai yang terlibat sedang dipantau rapat oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri sehingga kes selesai,"katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Sahabudin berkata, bagi memastikan siasatan yang dijalankan telus, adil dan tidak berat sebelah kes terbabit disiasat oleh pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang.

Selain itu, beliau turut mengesyorkan empat pegawai yang terlibat ditukarkan ke bahagian lain yang tiada kaitan dengan operasi serta siasatan buat masa ini.

Jumaat lalu Sinar Harian melaporkan beberapa pegawai JSJK Pulau Pinang dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dipercayai telah melepaskan lebih 11 OKT yang terlibat dalam Macau Scam dengan cara menyerahkan mereka kepada 'seorang pegawai dari sebuah agensi kerajaan' untuk diambil tindakan.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan kesemua OKT warga China tersebut tidak dibawa ke ibu pejabat agensi tersebut dan dipercayai telah dilepaskan.

Dipercayai, pegawai polis yang terlibat menerima sejumlah wang untuk melakukan jenayah tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan penglibatan pegawai polis berkenaan dan hasil siasatan yang dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) mendapati wujudnya kesalahan itu dalam kes tersebut.

Menurutnya, tindakan seorang pegawai polis yang dipercayai bersekongkol dengan suspek sindiket Macau Scam di negeri ini disifatkan sebagai satu pengkhianatan.

Sementara itu, Shabudin berkata, kesemua suspek yang berusia 30 hingga 60 tahun telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 217 Kanun Keseksaan kerana melindungi pesalah.

ARTIKEL BERKAITAN Polis lengkapkan siasatan kes pegawai lepaskan OKT