X

Kindly register in order to view this article
!

Polis rampas syabu, sita kenderaan bernilai RM5.76 juta

Sahabudin (tengah) menunjukkan senjata yang dirampas daripada suspek pada sidang media di IPK Pulau Pinang pada Isnin.
A
A

GEORGETOWN - Cubaan seorang lelaki melarikan diri selepas menyedari keretanya diekori polis gagal selepas dia ditahan dalam kejadian di Jalan Pantai Batu Feringghi - Teluk Bahang di sini pada Jumaat lalu.

Kejadian pada jam 6.30 petang itu turut membongkar kegiatan lelaki berusia 53 tahun yang disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah jenis syabu membabitkan nilai rampasan RM5.76 juta termasuk sitaan lima buah kenderaan dan sebuah motosikal.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, ketika tangkapan dilakukan polis turut menemui sepucuk pistol jenama Taurus No serta kelopak berisi 14 butir peluru selain 39 peluru hidup di dalam kereta jenis Mercedes Benz dipandu lelaki berkenaan.

"Selepas menyedari dia diekori polis, suspek cuba memecut keretanya hingga ke Rumah Peranginan Bank Negara dan melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya.

"Kecekapan pasukan Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang berjaya menangkap suspek tidak lama kemudian," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Sahabudin berkata, pemeriksaan dalam kereta suspek menemui 15 bungkusan mengandungi hablur kristal yang disyaki dadah jenis syabu bernilai RM540,000.

Katanya, susulan tangkapan itu membawa kepada serbuan di sebuah rumah di kawasan Teluk Bahang sehari kemudian dan polis menahan lelaki warga Bangladesh berusia 35 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan itu.

"Kita dapati rumah teres milik suspek pertama itu dijadikan stor penyimpanan dadah selepas penemuan 129.7 kilogram (kg) syabu bernilai RM4.6 juta.

"Siasatan mendapati sindiket yang telah beroperasi selama setahun itu memperoleh dadah berkenaan dari negara jiran di sebelah utara sebelum transit ke negeri ini dan akan dihantar ke Indonesia melalui jalan laut dipercayai menggunakan bot nelayan," katanya.

Mengulas lanjut, Sahabudin berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan Badan Narkotika Nasional (BNN) Indonesia bagi mengesan saki baki ahli sindiket berkenaan.

Katanya, semakan mendapati suspek pertama mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes dadah manakala lelaki Bangladesh merupakan pekerjanya.

"Kedua-dua suspek kini direman sehingga 17 Mac untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

"Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali," katanya.

Ditanya sama ada sindiket ini mempunyai kaitan dengan kumpulan pengedar dadah yang ditumpaskan di negeri ini sebelum ini, Sahabudin berkata, perkara itu masih lagi dalam siasatan.

Tegasnya, polis khususnya Jabatan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik akan terus meningkatkan usaha untuk melumpuhkan sumber kewangan dan aset sindiket bagi memastikan kegiatan penyeludupan serta pengedaran dadah dapat dibanteras habis-habisan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!