Isu ketua kampung: Kesal lantikan tiada semangat setia kawan

OSMAN
OSMAN
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian mendedahkan bukan setakat lantikan ketua kampung yang dibuat tanpa rundingan antara parti komponen yang menyokong kerajaan negeri iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) Johor.

Sebaliknya, ia turut berlaku bagi lantikan Pengerusi Yayasan Majlis Daerah, Majlis Perbandaran, Majlis Bandaraya, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pegawai penggerak Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ayer Hitam itu mendakwa, lantikan tersebut dibuat tanpa mengikut kuota yang dibincangkan bersama di hadapan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

"Kita telah bincang perkara ini awal, di mana kita lihat apa yang Menteri Besar, Datuk Hasni Muhammad buat tidak dibincangkan dengan kita terlebih, sedangkan kita di dalam kerajaan yang sama.

"Rentetan itu berlaku pertemuan di pejabat Menteri Besar pada bulan November tahun lepas. Sebagai satu kerajaan, formulanya mana-mana jawatan yang dipunyai atau dijawat pembangkang iaitu Pakatan Harapan ( PH) perlu dikeluarkan namun jawatan dipegang Bersatu perlu dikekalkan selain kuota 40 peratus Bersatu dan 60 peratus BN," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Kempas menjelaskan, situasi berkenaan tidak seperti diharapkan terutama ketika lantikan jawatan ketua kampung baru-baru ini.

"Saya lihat ketua kampung dilantik mengikut cita rasa mereka (BN) malah angkat sumpah bagi jawatan itu dilaksanakan walaupun Bersatu telah menghantar surat supaya ditangguhkan.

"Penangguhan ini dikemukakan bagi membuka ruang kepada Bersatu Johor berbincang bersama Hasni sebelum pelantikan kira-kira 400 ketua-ketua kampung seluruh mukim dilaksanakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegas Osman, lantikan ketua kampung tersebut membelakangkan semangat setia kawan dengan Bersatu yang merupakan parti penyokong kerajaan negeri di bawah Menteri Besar dari UMNO.

"Jawatan ketua kampung ini bukanlah tinggi sangat tetapi jelas menunjukkan imej Bersatu tercalar. Bersatu juga bukanlah memonopoli jawatan itu tetapi biarlah dibuat ikut kuota yang diputuskan dan ada perbincangan dengan parti- parti.

"Saya bercakap berdasarkan pengalaman sebagai Menteri Besar dan sebelum lantikan ketua kampung dibuat, ada muzakarah dengan parti," katanya.

Ditanya, mengenai hubungan antara Bersatu dan BN di Johor akan renggang berikutan isu ketua kampung, Osman menjelaskan Hasni perlu mengadakan mesyuarat segera antara PN dan BN bagi mencari jalan penyelesaian.

"Sejak setahun lepas, tiada mesyuarat antara PN dan BN malah pertemuan silaturahim atau minum petang juga tiada.

"Tiada ruang muzakarah ini menyebabkan timbul rasa tidak puas hati khususnya dalam kalangan penyokong kita," katanya.