Pengeluaran getah asli susut 8.2 peratus pada Januari 2021

China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu 43.4 peratus daripada jumlah eksport pada Januari 2021.
China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu 43.4 peratus daripada jumlah eksport pada Januari 2021.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengeluaran getah asli Malaysia mencatat penurunan 8.2 peratus pada Januari 2021 kepada 45,735 tan metrik berbanding 49,825 tan metrik pada bulan sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan pada Isnin.

Dari segi perbandingan tahun ke tahun, pengeluaran tersebut juga berkurangan sebanyak 31.0 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport getah asli Malaysia bagi Januari 2021 berjumlah 48,125 tan metrik iaitu penurunan sebanyak 21.8 peratus berbanding 61,547 tan metrik pada Disember 2020.

”China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu 43.4 peratus daripada jumlah eksport pada Januari 2021 dan ini diikuti oleh Iran (8.5 peratus), Jerman (5.9 peratus), Turki (5.1 peratus) dan Finland (4.3 peratus),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Uzir menjelaskan, sarung tangan getah merupakan bahan eksport utama dengan nilai eksport mencecah RM4.6 billion pada Disember 2020 -- peningkatan sebanyak 21.6 peratus kepada RM5.6 billion pada Januari 2021.

Pengimport tertinggi sarung tangan getah tersebut adalah Amerika Syarikat, Jerman dan China.

Dalam pada itu, Jabatan Perangkaan turut memaklumkan bahawa stok simpanan getah asli bagi Januari 2021 telah meningkat sebanyak 11.7 peratus kepada 278,817 tan metrik berbanding 249,551 tan metrik pada Disember 2020.

Selain itu, bagi tempoh sama, harga purata bagi lateks pekat merekodkan penurunan kepada 550.26 sen sekilogram berbanding Disember 2020 pada 582.79 sen sekilogram.

Artikel Berkaitan:

“Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M. 20) turut menunjukkan penurunan kepada 628.58 sen sekilogram berbanding 628.74 sen sekilogram bagi tempoh sama,” katanya.

Menurut jabatan itu, penggunaan getah asli di peringkat domestik pada Januari 2021 mencecah 47,115 tan metrik iaitu meningkat sebanyak 11.2 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Pembuatan sarung tangan getah terus mendominasi industri pembuatan getah asli dengan menyumbang sebanyak 35,978 tan metrik atau 76.4 peratus daripada jumlah penggunaan domestik. - Bernama