Bawa anak OKU tunggu Sultan Johor

sultan
sultan
A
A
A

KULAI - Hasrat seorang bapa yang mempunyai anak Orang Kurang Upaya (OKU) yang berkerusi roda untuk bersama-sama menyambut kehadiran Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Kampung Sri Gunung Pulai, di sini, akhirnya tercapai.

Menurut Sudin Kasim, walaupun anaknya Saharuddin, 30, itu tidak pandai bercakap namun jelas terpancar di wajahnya perasaan gembira dan teruja sebaik melihat ketibaan Sultan Ibrahim bersama permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

"Saya bawa dia sekali hari ini tujuannya untuk memastikan anak saya juga kenal Sultan Johor walaupun dia tidak boleh bercakap tapi saya nampak dia faham dan senyum sahaja.

"Anak saya juga turut menerima sumbangan hari ini daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Saya sebagai rakyat Johor sentiasa berharap agar Kembara Mahkota Johor (KMJ) akan terus berlanjutan kerana rakyat sayang Sultan Johor dan mendoakan agar baginda sentiasa sihat," kata lelaki berusia 50 tahun itu kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu, penduduk Kampung Sri Gunung Pulai yang biasanya tenang melakukan tugasan harian seperti mengusahakan kebun kelapa sawit dan getah bertukar ‘kecoh’ pagi ini dengan kehadiran baginda di situ, hari terakhir kembara diraja yang diketuai baginda.

Sultan Ibrahim yang tiba kira-kira jam 10.30 pagi itu dengan memandu Morgan bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, serta diiringi Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman, disambut dengan paluan kompang .

Turut berangkat sama, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Sultan Johor turut berkenan melawat pameran tragedi banjir di kampung berkenaan yang berlaku pada 2001.

Artikel Berkaitan:

Permaisuri Johor juga turut berkenan melepaskan anak-anak ikan di sungai berdekatan Gunung Pulai, sementara itu Tunku Putera Johor juga menyertai permainan melepaskan kapal kertas.

Konvoi hari terakhir KMJ 2018 dimulakan dengan Sultan Ibrahim menyaksikan demonstrasi masak tradisi bugis dan acara sukan rakyat seperti baling tin dan congkak di Pusat Informasi Daerah Pontian dan berakhir di Padang Awam Kampung Pasir Puteh, Pasir Gudang, yang menyaksikan pelbagai aktiviti dijalankan termasuk demo melukis corak pasu tembikar, memanah, polo berbasikal dan sumbangan dialisis.

Sementara itu, Sultan Ibrahim menzahirkan penghargaan baginda kepada kesemua rakyat Johor ke atas sambutan yang diterima Baginda sekeluarga sepanjang berlangsungnya program KMJ 2018.

“Kembara Mahkota Johor 2018 sudah selesai hari ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menganjurkan program ini.

“Terima kasih juga kepada rakyat Johor yang keluar beramai-ramai untuk menyambut saya,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini. Kenyataan itu dimuatnaik RPO menerusi Facebook rasmi baginda.

KMJ yang Isnin melabuhkan tirainya hari ini selepas menjelajah sejauh 777 kilometer merentasi 10 daerah sepanjang tiga hari.

Sultan Ibrahim bersama Raja Zarith Sofiah serta Keluarga DiRaja Johor disambut ribuan rakyat yang menanti di setiap lokasi persinggahan tanpa mengira cuaca panas dan kadang-kala hujan, dari awal pagi sehingga lewat petang.

Selain memandu kereta beroda tiga Morgan ke hampir semua lokasi, baginda juga berkenan memandu keretapi dari Stesen Kluang hingga ke Stesen Segamat sejauh 98 kilometer pada hari kedua Kembara Mahkota Johor 2018. - Bernama