Tiada caj suntikan vaksin Covid-19 di hospital, klinik swasta

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Individu yang mendapat temu janji untuk suntikan vaksin Covid-19 di hospital atau klinik swasta tidak perlu membayar sebarang caj.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berkata, caj berkenaan sebaliknya akan dibayar oleh kerajaan.

“Ini untuk hospital atau klinik swasta yang terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya pada sidang akhbar yang disiarkan menerusi dalam talian.

Turut sama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Khairy menambah, individu yang akan menerima vaksin berkenaan akan dihantar ke pusat pemberian vaksinasi berdasarkan alamat mereka.

"Penghantaran berdasarkan lokasi kerana kita mahu memudahkan program imunisasi ini,” katanya.

Mengulas mengenai laporan bahawa terdapat kesan sampingan selepas individu disuntik vaksin AstraZeneca, Khairy berkata, sehingga kini tidak ada data yang menunjukkan kaitan langsung antara pemberian vaksin berkenaan dengan kes pembekuan darah yang telah menyebabkan kematian di beberapa negara lain.

“Bagaimanapun kita masih lagi mengkaji mengenai perkara tersebut. Vaksin AstraZeneca belum lagi sampai di Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dalam tempoh vaksin berkenaan sampai di negara ini, kerajaan akan melihat kepada maklumat data klinikal berkenaan kejadian terbabit.

“Apabila pakar telah membuat rumusan berkenaan isu ini, kita akan umumkan,” katanya.

Beberapa negara mengumumkan penangguhan suntikan vaksin itu selepas seorang jururawat berusia 49 tahun meninggal dunia akibat masalah pembekuan darah beberapa hari selepas menerima suntikan tersebut.

Negara terbabit termasuk Thailand, Austria, Estonia, Latvia, Lithuania, Luxemborg dan Itali turut menggantung pemberian vaksin tersebut.