Malaysia akan teruskan pembelian vaksin AstraZeneca

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin Abu Bakar
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Malaysia akan meneruskan proses penerimaan dan pembelian vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca memandangkan tiada bukti menunjukkan vaksin itu menyebabkan darah beku, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, Malaysia telah menerima maklumat daripada AstraZeneca berhubung kesan vaksinasi dan setakat ini, tiada data menunjukkan kaitan langsung antara pemberian suntikan vaksin itu dengan kes darah beku yang menyebabkan kematian di beberapa negara.

“Buat masa ini, tidak ada pendirian lain berhubung penerimaan dan pembelian AstraZeneca kerana ia masih kekal (seperti dahulu)," katanya dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini pada Isnin bersama dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beberapa negara seperti Denmark, Norway, Iceland dan Thailand dilaporkan menggantung sementara penggunaan vaksin itu susulan laporan berlaku pembentukan darah beku ke atas beberapa individu selepas menerima suntikan.

Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata pihaknya akan meneliti data klinikal mengenai AstraZeneca serta insiden di luar negara bagi membolehkan pakar membuat rumusan mengenai isu penggunaan vaksin itu.

Dr Adham pula berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) melakukan penelitian rapi terhadap apa jua vaksin Covid-19 yang akan digunakan di Malaysia.

“Kita percaya dengan NPRA dan untuk vaksin AstraZeneca ini, kita lihat terhadap kualiti serta keselamatan vaksin itu sendiri,” katanya.

Vaksin AstraZeneca telah diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 2 Mac lepas.

Khairy turut memaklumkan Malaysia akan menerima tambahan vaksin Pfizer-BioNTech secara berperingkat bagi menjayakan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, proses penghantaran vaksin Pfizer-BioNTech hari ini melibatkan 83,070 dos dan sebanyak 124,020 dos akan diterima pada 22 Mac manakala 125,190 lagi diterima pada 26 Mac.

“Secara kumulatifnya, Malaysia akan menerima 1,000,350 dos vaksin dan ini melengkapkan penghantaran untuk suku tahun pertama,” katanya sambil menambah sejumlah 100,000 dos vaksin jenis Sinovac juga akan diterima hari ini.

Ditanya mengapa Malaysia membuat perolehan vaksin Covid-19 dalam jumlah yang besar, Khairy berkata, langkah itu adalah bagi memudahkan proses mitigasi iaitu mengurangkan risiko kelewatan penghantaran vaksin ke Malaysia.

“Terdapat kemungkinan kita perlu beri ‘booster shot’ iaitu satu lagi dos pada tahun depan sekiranya wabak ini masih ada, (jadi) ada baiknya kita ada stok,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sedang melihat kemungkinan memberikan vaksin Covid-19 kepada golongan remaja.

Katanya pengeluar vaksin Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca sedang menjalankan ujian klinikal ke atas individu berumur lingkungan 12 hingga 16 tahun.

Khairy juga berpendapat semua vaksin Covid-19 yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sewajarnya diterima oleh semua negara dan disertakan dalam pasport vaksin.

“Kalau kita nak guna kelulusan regulatori masing-masing, susah. Sekurang-kurangnya jika vaksin itu mempunyai kebenaran WHO untuk digunakan semasa kecemasan, maka semua negara patut boleh menerimanya,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia akan mengadakan perbincangan dengan Kesatuan Eropah (EU) serta beberapa negara lain berhubung isu pasport vaksin.

Khairy berkata demikian ketika ditanya kemungkinan kesukaran rakyat negara ini untuk ke negara di benua itu ekoran laporan mengenai cadangan pasport vaksin EU hanya sah dengan vaksin diluluskan Agensi Perubatan Eropah (EMA).

Daripada lima dalam portfolio vaksin Malaysia, EU telah mengiktiraf Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca manakala Sputnik V sedang dalam pertimbangan EMA.

Vaksin lain dalam portfolio Malaysia ialah Sinovac dan CanSinoBIO. - Bernama