X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan Perak pertimbang perjumpaan ADUN ganti Sidang DUN

Saarani turut membuat cabutan kerja undi JKR Perak yang disiar secara langsung menerusi Facebook Live di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mengambil maklum mengenai cadangan perjumpaan dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi menggantikan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak boleh diadakan dalam tempoh pelaksanaan darurat.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, cadangan tersebut mungkin dipertimbangkan untuk membolehkan beberapa perkara dibentangkan kepada kesemua ADUN di negeri ini.

Menurutnya, bagaimanapun kaedah perjumpaan itu akan dirujuk bersama Penasihat Undang-Undang Negeri bagi memastikan ia boleh dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

"Melalui perjumpaan ini, Menteri Besar boleh memberikan taklimat apa yang telah kita buat dan apa yang akan kita buat termasuk kita nak membentangkan pada 29 Mac ini iaitu blueprint kerajaan negeri sebagai contoh.

"Kita juga mungkin nak melaporkan status pungutan cukai, kewangan dan perbelanjaan. Selepas itu kita dengar pandangan balas daripada 59 ADUN supaya dapat memperbaiki 'performance' kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sesi Cabutan Kerja Undi Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak Secara Facebook Live di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Zolkafly Harun; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Halizah Sipun; Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, Aida Hazlyn Hassan dan Pengarah Kerja Raya Perak, Zulkipli Nasri.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan ADUN Manjoi, Datuk Asmuni Awi yang mencadangkan persidangan di antara ADUN di negeri ini diadakan menggantikan Sidang DUN yang tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh darurat.

Dalam pada itu, Saarani berkata, perjumpaan tersebut tidak memerlukan pewartaan dan pakaian rasmi dewan malah mungkin boleh diadakan di luar Dewan Negeri seperti di hotel atau Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Menurutnya, cuma harus ditentukan penganjur sama ada diuruskan oleh pejabat Speaker DUN, Pejabat Menteri Besar Perak atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Jelas beliau, secara dasarnya kerajaan negeri menyambut baik cadangan itu dan mungkin boleh diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam tempoh pandemik Covid-19.

Sementara itu, mengenai Sesi Cabutan Kerja Undi JKR Perak yang dilakukan secara Facebook Live itu, Saarani berkata, inisiatif itu boleh diperluaskan ke jabatan dan agensi lain di negeri ini.

Katanya, pelaksanaan secara norma baharu itu lebih berkesan berbanding dengan semua wakil syarikat kontraktor hadir menyaksikan undi tersebut di dalam dewan.

Menurutnya, cabutan kerja undi JKR Perak itu dilaksanakan membabitkan 202 projek dengan nilai keseluruhan RM9.67 juta bagi 12 daerah di negeri ini melalui peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).

Jelas Saarani, pemberian kontrak tersebut secara tidak langsung membangunkan semula industri pembinaan pada masa sama membantu kontraktor serta mereka yang terlibat dengannya termasuk kedai perkakasan dan pekerja lain.

Turut sama menyaksikan cabutan kerja undi itu, Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Perak, Datuk Jamaluddin Abdul Rahim; Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Perak, Khairul Arifin Sabri dan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Elektrik Bumiputera Kelas F Perak, Mohd Zabidi Razali.

ARTIKEL BERKAITAN: Persidangan antara ADUN ganti Sidang DUN


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!