DAP bebas langgar SOP, rakyat didenda RM10,000

MOHD RAZLAN
MOHD RAZLAN
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan terhadap DAP susulan kekecohan dalam konvensyen parti itu di Ipoh yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii meminta Kementerian Dalam Negeri tidak bersikap 'double standard' dalam hal berkenaan.

Beliau berkata, rakyat menanti saman dan kompaun yang akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa terhadap penganjur yang gagal mematuhi SOP.

"Semalam (Ahad) berlangsung satu mesyuarat parti DAP di Ipoh, Perak dan lebih 1,500 perwakilan hadir di dalam satu dewan.

"Ada insiden pegang memegang, insiden tarik menarik, insiden cakap tanpa face mask (pelitup muka), insiden duduk berdekatan dan namakan sahaja peraturan SOP yang sepatutnya mereka patuhi," katanya dalam kenyataan di Facebooknya pada Isnin.

Mohd Razlan berkata, rakyat merasa terhina apabila undang-undang itu dikenakan kepada mereka yang dikatakan melanggar SOP walaupun boleh dipertikaikan.

"Sekiranya kerajaan melihat dan menunding jari kepada mana-mana pihak dan beralasan mahu menyiasat atau tidak, maka tidak guna darurat yang ada sekarang. Bubarkan sahaja darurat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: https://www.sinarharian.com.my/article/128346/BERITA/Politik/Konvensyen-DAP-Perak-kecoh

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran di Facebook pada Isnin turut mempersoalkan tindakan pimpinan DAP itu.

Artikel Berkaitan:

"Tahniah DAP dapat himpunkan lebih 1,500 delegasi dalam dewan. Cuma nak tanya boleh ke berhimpun sebegini ramai di musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)?

"Kalau tak silap, pimpinan DAP juga kata mereka menentang sebarang aktiviti berpolitik ketika rakyat tengah susah di musim pandemik Covid-19 dan darurat!," tulisnya.

Konvensyen Biasa DAP Perak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh, di Konvensyensini kecoh pada Ahad.

Difahamkan kekecohan tersebut berlaku disebabkan proses pemilihan yang berlangsung pada konvensyen kali ini.