Tiada pihak harus dipersalahkan kekalahan 0-1 Sabah FC: Bung Moktar

Aksi perlawanan Sabah FC menentang Petaling Jaya (PJ) City FC di Stadium Likas, malam tadi. -Foto Facebook Sabah Football Club
Aksi perlawanan Sabah FC menentang Petaling Jaya (PJ) City FC di Stadium Likas, malam tadi. -Foto Facebook Sabah Football Club
A
A
A

TIADA pihak harus dipersalahkan atas kekalahan 0-1 Sabah FC di tangan Petaling Jaya (PJ) City FC malam tadi, kata Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata sebaliknya semua pihak terutama pemain harus melangkah ke hadapan dengan membaiki segala kelemahan bagi menjadikan Sabah FC sebuah pasukan yang lebih baik dalam saingan Liga Super musim ini.

"Saya pun ada mengikuti perlawanan dengan PJ City FC itu namun saya tidak menyalahkan mana-mana pihak," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perlawanan di gelanggang sendiri di Stadium Likas malam tadi, gol pada minit ke-51 oleh penyerang Darren Lok membantu PJ City FC merekodkan kemenangan pertama dalam Liga Super dan kekalahan kedua Sabah FC daripada tiga perlawanan musim ini.

Sabah FC seri 1-1 dalam perlawanan pembukaan Liga Super menentang Melaka United sebelum tewas 0-2 kepada Kedah Darul Aman FC, dan pasukan The Rhinos itu akan meneruskan saingan menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Selasa ini.

Bung Moktar berkata pemain import yang diturunkan dalam perlawanan malam tadi hanya berpeluang menjalani latihan sehari bersama pasukan dan masa yang singkat itu menyukarkan mereka melakukan penyesuaian.

"Mereka (pemain import) tiba empat hari lepas tetapi mereka hanya dapat berlatih sehari dan terpaksa menghadapi perlawanan...pasukan kita juga baharu menjalani latihan disebabkan kekangan wabak Covid-19.

Keadaan ini yang kita hadapi tetapi saya yakin pasukan akan dapat melakukan penyesuaian dalam dua atau tiga lagi perlawanan untuk membentuk persefahaman dalam pasukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau percaya pasukan dikendalikan Ketua Jurulatih Kurniawan Dwi Yulianto itu akan dapat membaiki persefahaman pasukan dan menemui rentak pada perlawanan akan datang.

Empat pemain import Sabah FC iaitu Saddil Ramdani dari Indonesia, Sam Johnson (Liberia), Risto Mitrevski (Macedonia) dan Levy Madinda (Gabon) diturunkan untuk perlawanan pertama mereka malam tadi bersama Park Tae-soo (Korea Selatan) yang beraksi untuk Sabah sejak musim lepas. - Bernama