X

Kindly register in order to view this article
!

Harimau Malaya pantau kecederaan Safawi

Perkembagan semasa Safawi akan dipantau.
A
A

PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sedang memantau tahap kecederaan yang dialami bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid menjelang kem latihan pusat yang dijadualkan bermula dari 22 hingga 30 Mac ini.

Menurut Cheng Hoe, nama Safawi sudah berada dalam perancangannya untuk mengikuti kem latihan pusat itu yang diadakan sebagai persiapan awal bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun depan.

“Berita mengenai kecederaan Safawi ini satu berita yang agak sedih bagi kita semua. Tetapi pihak perubatan pasukan kebangsaan sedang berurusan dengan JDT bagi mendapatkan kepastian mengenai tahap kecederaan Safawi.

“Sebagai jurulatih, sudah tentu saya juga mahu mengetahui selama mana Safawi perlu berehat kerana kita memang mahu menyenaraikannya pada kem latihan pusat kali ini. Jika dia tidak sempat pulih, saya mungkin terpaksa mencari pengganti,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Situasi Safawi mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air apabila dia dilihat mengerang kesakitan selepas bertembung dengan pemain UiTM FC seawal minit kelapan dalam aksi Liga Super di Stadium UiTM, Shah Alam pada Sabtu.

Bagaimanapun, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi satu komen dalam laman Instagram memberi jaminan pemain sayap lincah itu akan kembali beraksi dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.

“Jangan risau, Alhamdulillah bukan ACL (Anterior Cruciate Ligament). Kita (JDT) hanya bermain di ACL (Liga Juara-Juara Asia), itu sahaja. Terima kasih, dua atau tiga minggu lagi...Insya-Allah ok,” jelas Tunku Ismail.

Dalam pada itu, Cheng Hoe mampu menarik nafas lega apabila penyerang muda, Luqman Hakim Samsudin mendapat pelepasan daripada kelabnya, KV Kortrijk untuk mengikuti kem latihan pusat kali ini.

“Memang saya dah rancang lama untuk panggil Luqman dan semua dah tahu dia akan pulang. Kami amat mengalu-alukan kedatangannya dan saya berharap dia mampu memberi impak kepada pasukan nanti,” ujarnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!