X

Kindly register in order to view this article
!

Undang-undang tentera dikuatkuasakan di Myanmar

Gambar fail menunjukkan seorang penunjuk perasaan menggunakan alat pemadam api ketika rakan-rakannya melarikan diri akibat pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata di Yangon. - Foto AFP
A
A

YANGON - Junta tentera Myanmar pada Ahad melaksanakan undang-undang tentera di dua kawasan perbandaran berpendudukan padat selepas sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dalam satu tunjuk perasaan pada hari yang sama.

Kematian itu menjadikan jumlah kematian para penunjuk selepas pihak tentera bertindak merampas kuasa pada 1 Februari lalu ialah sekitar 100 orang walaupun para aktivis dan kumpulan-kumpulan hak asasi manusia menganggarkan angkanya menjadi lebih tinggi.

Pihak tentera juga menahan beberapa pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) termasuk ketuanya dan bekas Penasihat Kerajaan, Aung San Suu Kyi selepas partinya menang besar dalam pilihan raya umum pada November tahun lalu.

Ia yang juga bertindak menangkap Presiden Myanmar, Win Myint turut mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya tersebut sebelum melancarkan rampasan kuasa.

Media kerajaan melaporkan pada Ahad bahawa kawasan perbandaran Hlaing Tharyar dan Shwepyitha yang berjiran dengannya telah diletakkan dalam undang-undang tentera.

Kawasan perbandaran yang miskin itu terkenal sebagai sebuah pusat perkilangan dan menempatkan kilang kain.

Sejak beberapa minggu lalu, askar-askar dan polis berusaha menyuraikan tunjuk perasaan yang mendesak demokrasi dikembalikan kepada rakyat dengan menggunakan gas pemedih mata, peluru getah dan hidup.

Di kawasan perbandaran Hlaing Tharyar, pertempuran berlaku antara polis dan penunjuk perasaan yang menggunakan kayu serta pisau.

Beberapa penunjuk perasaan cedera dan pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah mereka.

"Saya boleh mengesahkan seramai 15 orang meninggal dunia," kata doktor itu kepada AFP dan telah merawat kira-kira 50 orang dan menjangkakan angka kematian akan meningkat.

Seorang lelaki ditembak mati di bandar Hpakant dan seorang lagi wanita terbunuh akibat terkena tembakan di kepala di Mandalay.

Seorang lagi disahkan terbunuh di kawasan perbandaran Tamwe dengan menyatakan pasukan keselamatan melepaskan tembakan apabila ratusan penunjuk perasaan cuba untuk membakar sebuah balai polis.

Media kerajaan menyatakan lima buah kilang di kawasan yang mengeluarkan pakaian telah dibakar termasuk sebuah milik China dan disahkan oleh kedutaan Beijing di Myanmar. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!