Banteras rasuah perlu libat semua pihak

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha untuk membanteras rasuah memerlukan penglibatan yang menyeluruh daripada semua peringkat masyarakat di Malaysia.

Timbalan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Profesor Madya Badlishah Sham Baharin berkata, pendekatan menyeluruh itu bukan sahaja memerlukan kerjasama daripada kumpulan akar umbi tetapi juga seluruh organisasi kerajaan.

Menurutnya, di peringkat akar umbi, kesemua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan sivil perlu menggembleng usaha bersepadu untuk menumpukan usaha mereka terhadap isu rasuah.

“Salah satu daripada peranan yang boleh dilakukan oleh NGO atau pertubuhan sivil ialah menubuhkan satu gerakan sosial yang memberi fokus membanteras kegiatan rasuah.

“Kita gabung tenaga untuk cari jalan bagaimana memerangi masalah sama ada melalui pendidikan atau melalui cara lain. Kita juga perlu fikir bagaimana membawa rakyat bersama memerangi rasuah kegiatan rasuah,” katanya pada forum bertajuk ‘Rasuah Sudah Menjadi Budaya?’ anjuran Gabungan Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam (ACCIN) yang disiarkan secara langsung melalui Facebook ACCIN pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Badlishah berkata, di peringkat kerajaan pula, di samping pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023, kesemua kementerian dan agensi perlu terlibat dalam usaha memberikan kesedaran dan pendidikan mengenai kepentingan membanteras rasuah.

Dalam pada itu, turut memberikan komen pada forum tersebut ialah Naib Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Pulau Pinang, Datuk Dr Gp Doraisamy yang berpandangan ahli politik merupakan kumpulan yang memainkan peranan paling besar dalam usaha memerangi rasuah.

Katanya, kegiatan rasuah di Malaysia ketika ini bukan berpunca daripada budaya masyarakat tetapi sebaliknya datang daripada budaya politik negara.

Artikel Berkaitan:

Doraisamy berkata, untuk menangani isu tersebut, perkara paling penting untuk difikirkan ialah bagaimana cara mengubah pemikiran ahli politik di Malaysia.

“Apa yang kita perlukan sekarang ialah ahli politik yang berintegriti, mempunyai rekod kerja yang baik dan tiada rekod kesalahan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.