Kedudukan wanita yang berintegriti

No Image Caption
A
A
A
DALAM kerangka menyambut Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac setiap tahun, negara kita sebenarnya telah muncul sebagai sebuah negara yang mempunyai keseimbangan dalam menentukan peranan dan kedudukan wanita dan lelaki dalam segala bidang pembangunan negara.

Sejak mencapai kemerdekaan, negara kita yang meletakkan Islam sebagai agama negara dalam Perlembagaan pada dasarnya tidak mengabaikan hak dan kedudukan wanita, malah kerajaan telah melantik wanita memegang jawatan utama dalam pemerintahan negara. Malah negara kita buat pertama kalinya telah melantik wanita sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Ingatan saya segera kembali ke tahun 1993 ketika saya menerajui Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), penulis dan pemikir futuristik Barat bernama Elvine Toffler, ketika melawat IKIM menyatakan perasaannya yang agak terpesona dengan kedudukan wanita di Malaysia iaitu ketika beliau menyaksikan ketrampilan wanita Islam di alam pekerjaan dan sosial di negara kita yang amat berbeza dari keadaan yang dialaminya ketika melihat kedudukan wanita Islam di beberapa buah negara lain sama ada negara Islam atau bukan Islam.

Hal ini juga mempunyai kaitan dengan perdapat sarjana Islam sendiri ketika membicarakan tentang isu kedudukan wanita yang menyatakan salah faham masyarakat tentang isu kedudukan wanita ini amatlah besar.

Masyarakat Barat terutamanya mempunyai persepsi wanita pada pandangan Islam adalah merupakan makhluk tanpa roh, ditekan dan ditindas, malah mereka sering bertanya “Dalam Islam apakah anda percaya bahawa wanita itu mempunyai roh?”

Ramai juga sarjana Islam yang memberikan pandangan salah faham masyarakat tentang kedudukan wanita dari perspektif Islam yang sebenarnya sering ditimbulkan oleh khayalan dan ledakan emosi yang ditimbulkan oleh dunia hiburan dan media.

Saya beranggapan persoalan ini telah banyak diperkatakan oleh ulama dan sarjana Islam iaitu yang telah memberikan jawapan dengan memetik ayat al-Quran, hadis dan fakta sejarah kegemilangan Islam yang membuktikan bahawa Islam telah memberikan hak dan kedudukan yang seimbang kepada wanita sebagai makhluk ALLAH yang dihormati dan sama rata dengan lelaki.

Seorang ulama Islam terkemuka, Shaikh Muhammad Al-Ghazali menegaskan bahawa Islam banyak memberi kebebasan kepada wanita dalam masyarakat, tetapi permasalahan timbul bukanlah pada ajaran al-Quran dan hadis yang salah erti, malah masalah yang timbul tentang kedudukan wanita Islam dalam masyarakat moden pada hari ini ialah tentang kejumudan segelintir pembicara dan pendokong Islam itu sendiri yang menyalah tafsir ajaran Islam tentang isu wanita ini.

Dr Yusuf Al-Qaradhawi, sarjana Islam yang terkenal dengan sikap keterbukaannya membawa nada sama dengan Shaikh Muhammad Al-Ghazali.

Artikel Berkaitan:

Al-Qaradhawi menjelaskan bahawa dalam kebangkitan media elektronik, tiada saluran TV dapat memisahkan diri daripada penyertaan wanita kerana wanita merupakan sebahagian masyarakat.

Cuma dalam hal ini beliau menjelaskan tentang batas-batas moral keagamaan dan integriti wanita yang seharusnya dipelihara setiap waktu.

Namun saya rasa masalah dihadapi hari ini tidaklah semudah seperti kita bincangkan iaitu dominan atau tidaknya wanita dalam institusi kekeluargaan dan institusi-institusi lainnya.

Masalah ini menjadi amat rumit apabila tradisi masyarakat kita sendiri disalah tafsir sebagai sistem yang mengeksploitasi wanita sehingga timbul isu yang diselewengkan tentang perkembangan pemikiran moden dan dasar globalisasi yang mendominasikan masyarakat dunia keseluruhannya

Dalam aliran pemikiran inilah telah timbul kritikan tentang sistem perkhidmatan dan perundangan negara dalam beberapa isu yang dirasakan sebagai isu berat sebelah oleh para pejuang wanita moden, sedangkan hakikatnya tidaklah sedemikian.

Hal ini memerlukan kesefahaman dan sikap tolak ansur yang masih boleh dibincangkan secara rasional tanpa menyentuh hukum agama dan budaya negara kerana pada dasarnya negara kita menjamin kedudukan wanita pelbagai kaum dan agama di negara kita dengan penuh integrasi dan berintegriti.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia