Pulut Legenda 'signature' baharu Langkawi

Ronald melihat padi pulut yang akan menjadi produk 'signature' di Pulau Langkawi yang dikenali sebagai Pulut Legenda.
Ronald melihat padi pulut yang akan menjadi produk 'signature' di Pulau Langkawi yang dikenali sebagai Pulut Legenda.
A
A
A

LANGKAWI - Tanaman padi pulut yang diusahakan oleh ahli-ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkawi akan menjadi produk 'signature' khusus dikenali sebagai Pulut Legenda.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, projek tanaman beras pulut itu mula dilaksanakan pada tahun 2019 di bawah seliaan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dengan kerjasama jabatan dan agensi di bawah MAFI.

Katanya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20.5 juta bagi melaksanakan penanaman padi pulut seluas 541.58 hektar melibatkan lapan kawasan bermula musim 1/2021.

"Projek disertai seramai 326 orang peserta. Setakat ini projek ini telah mencatatkan peningkatan iaitu daripada 1.55 tan per hektar pada tahun 2019 (musim pertama) kepada 3.89 tan per hektar pada musim lalu (musim 2/2020).

"Ia secara tidak langsung membantu petani terlibat meningkatkan pendapatan mereka melalui tanaman ini," katanya ketika ditemui di program MAFI Prihatin dan Pelancaran Pulut Legenda di PPK Langkawi di sini pada Sabtu.

Menurut Ronald, beliau berhasrat untuk menjayakan projek padi pulut di pulau itu dan akan berusaha memenuhi keperluan dan infrastruktur yang diperlukan.

Kiandee (tiga,kiri) bergambar selepas menyempurnakan gimik pelancaran jenama beras pulut iaitu Pulut Legenda.
Kiandee (tiga,kiri) bergambar selepas menyempurnakan gimik pelancaran jenama beras pulut iaitu Pulut Legenda.

"Kita nak lihat projek ini berjaya dan kita akan cuba memenuhi keperluan dengan mewujudkan kilang memproses padi di Langkawi seperti yang dipohon oleh PPK selain menambah baik sistem pengairan di sini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam majlis sama, Ronald turut menyampaikan bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi bernilai RM179,282 kepada 107 petani yang terlibat dengan banjir, ribut dan kemarau antara November 2019 hingga Oktober tahun lalu.

Sementara itu, seorang petani, Mohd Zuki Ramli, 59 berkata, penglibatannya dalam penanaman padi pulut ini membantu meningkatkan taraf hidup keluarganya.

"Saya sebelum ini terlibat dalam pertanian padi biasa tetapi selepas beralih ke tanaman padi pulut pendapatan saya meningkat agak ketara. Paling banyak pada musim lalu apabila berjaya mendapat hasil sebanyak 22 tan membabitkan keluasan kira-kira tiga hektar sawah," katanya.

Mohd Zuki, turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi terlibat terutamanya PPK Langkawi, Jabatan Pertanian dan MARDI yang sentiasa memberi kerjasama kepada petani.

"Mereka memainkan peranan yang sangat besar dalam membantu kami meningkatkan hasil tanaman. Setiap agensi akan berjumpa petani untuk bertanya masalah kami dan berusaha menyelesaikannya.

"Mereka tidak mengabaikan kami dan saya harap Pulut Legenda yang diperkenalkan ini dapat menarik lebih ramai pelancong ke pulau ini," katanya.