SUSK Tok Pa cedera, langgar besi tengah jalan

Kedudukan objek besi yang menjadi punca kemalangan. Gambar kecil: Cermin bahagian depan yang pecah susulan kemalangan selepas melanggar objek besi di tengah jalan.
Kedudukan objek besi yang menjadi punca kemalangan. Gambar kecil: Cermin bahagian depan yang pecah susulan kemalangan selepas melanggar objek besi di tengah jalan.
A
A
A
PETALING JAYA - Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada seorang menteri terlibat dalam kemalangan di Kilometer 14.6 Lebuh raya Utara Selatan menghala Damansara awal pagi Ahad.

Difahamkan mangsa adalah SUSK Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian jam 12.30 malam itu, mangsa yang berusia 47 tahun mengalami kecederaan apabila kenderaan X70 dipandunya hilang kawalan selepas melanggar objek besi di tengah jalan.

"Mangsa dikejarkan ke hospital swasta di Ara Damansara dan disahkan mengalami kecederaan patah tulang hidung dan bahagian pipi.

"Sementara kereta mangsa mengalami kerosakan di bahagian hadapan, " katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, siasatan awal mendapati objek besi tersebut berkemungkinan terjatuh daripada lori-lori yang melalui jalan tersebut.

"Ini kerana tiada sebarang projek sedang berjalan di sekitar kawasan itu pada masa kejadian.

" Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Justeru, orang awam yang melihat atau mengetahui mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Al Rassid Borhanudin atau bilik gerakan IPD Petaling Jaya, 03-79662176.

Artikel Berkaitan: