Tiga beradik akhirnya dapat sijil kelahiran

Depan dari kanan; Mohammad Shazrul Danish, Nur Eliani dan Nur Syaliza menunjukkan sijil kelahiran yang telah diterima mereka di Kampung Alor Serdang, Kota Sarang Semut, Alor Setar pada Ahad. Turut kelihatan Hisham (belakang kanan) dan Rohariza (belakang kiri).
Depan dari kanan; Mohammad Shazrul Danish, Nur Eliani dan Nur Syaliza menunjukkan sijil kelahiran yang telah diterima mereka di Kampung Alor Serdang, Kota Sarang Semut, Alor Setar pada Ahad. Turut kelihatan Hisham (belakang kanan) dan Rohariza (belakang kiri).
A
A
A

ALOR SETAR - Tiga beradik dari Kampung Alor Serdang dekat sini gembira selepas menerima sijil kelahiran masing-masing bagi meneruskan sesi persekolahan mereka tanpa sebarang masalah selepas ini.

Nur Syaliza,13, Mohammad Shazrul Danish, 10, dan Nur Eliani, 7, sebelum ini tidak didaftarkan kelahiran mereka disebabkan kehidupan keluarga yang susah malah bapa, Hisham Zainol, 40, juga dimaklumkan tidak sihat sejak beberapa tahun lalu.

Ibu mereka, Rohariza Che Lah, 42, berkata, mereka sekeluarga juga tidak mempunyai kenderaan untuk membawa anak-anak mendaftarkan sijil kelahiran dan perkara itu tertangguh sehinggalah mendapat perhatian pihak sekolah dan juga Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Kedah.

"Bila anak-anak tidak ada sijil kelahiran ini, saya akui rasa risau dan tidak senang duduk memikirkan nasib mereka yang sedang membesar. Namun selepas mereka mendapat sijil kelahiran ini, saya gembira dan bersyukur.

"Mereka sudah boleh pergi ke sekolah dan tidak lagi tercicir dalam pelajaran. Saya harap mereka dapat bersekolah dengan baik seperti rakan-rakan mereka yang lain,” katanya semasa menerima kunjungan Timbalan Pengarah JPN Kedah, Madihah Muhammad di rumahnya di Kampung Alor Serdang, Kota Sarang Semut pada Ahad.

Rohariza yang merupakan ibu kepada lima anak berkata, suaminya adalah orang kurang upaya (OKU) yang meraih pendapatan dengan melakukan kerja-kerja kampung manakala dia membuat ikan masin.

"Pendapatan kami sebulan bila dicampur sekitar RM500. Kami juga menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM450 sebulan. Kami hanya ada sebuah motosikal sahaja untuk bergerak dan digunakan untuk menghantar anak ke sekolah," katanya.

Madihah (dua dari kanan) turun menyerahkan sijil kelahiran kepada tiga beradik di Kampung Alor Serdang, Kota Sarang Semut, Alor Setar pada Ahad.
Madihah (dua dari kanan) turun menyerahkan sijil kelahiran kepada tiga beradik di Kampung Alor Serdang, Kota Sarang Semut, Alor Setar pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Anaknya, Mohammad Shazrul Danish berkata, dia berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai cita-citanya untuk membuka bengkel kereta suatu hari nanti dan membantu meringankan beban keluarga.

Sementara itu, Madihah berkata, permohonan sijil kelahiran bagi ketiga-tiga kanak-kanak tersebut telah dilakukan tahun lalu selepas mendapat maklumat daripada JKM sebelum pihaknya ke sekolah untuk melakukan siasatan.

Menurutnya, anak sulung keluarga tersebut berusia 16 dan sudah dua tahun mempunyai sijil kelahiran cuma mereka bertiga sahaja yang masih belum ada.

"Hari ini juga kita tolong Nur Syaliza untuk buat kad pengenalan kerana sudah berusia 13 tahun. Selepas beberapa hari JPN akan hantar kad pengenalan di sini kerana kita tahu keluarga ini mempunyai kekangan pengangkutan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, punca pendaftaran sijil kelahiran anak lambat dilakukan adalah disebabkan oleh isu perkahwinan, sosial serta kurangnya kesedaran oleh ibu bapa.

“Sebanyak 329 permohonan telah dibuat pada tahun 2019 untuk mendapatkan sijil kelahiran, manakala bagi tahun lepas ia meningkat kepada 348 permohonan.

Pada tahun ini, sehingga tempoh Februari, kita telah menerima 34 permohonan jadi saya menyeru supaya ibu bapa segera mendaftarkan anak-anak mereka tidak kira apa juga status mereka,” katanya.