X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

Perak kecundang di laman sendiri

Perak FC terpaksa akur dengan kekalahan pertama mereka dengan Terengganu FC yang berkesudahan 0-2. -Foto Facebook Perak FC
A
A

PERAK FC gagal memanfaatkan peluang bermain digelangang sendiri pada aksi ketiga Liga Super 2021 apabila ditundukkan Terengganu FC 0-2 di Stadium Perak, di sini, pada Ahad.

Perlawanan pada babak pertama menyaksikan Terengganu FC bermula garang apabila mengasak serangan ke kubu lawan.

Seawal minit ke-2, pasukan pelawat mencipta peluang apabila import mereka Jordan Mintah hampir menjaringkan gol namun dinafikan Muhammad Shakir Hamzah yang pantas mengeluarkan bola.

Selang seminit kemudian, satu lagi percubaan dilakukan oleh pemain sama namun tendangannya melepasi palang gol Perak FC.

Percubaan Perak FC hanya diperoleh pada minit ke-21 menerusi percubaan Guilherme de Paul di luar kotak penalti yang berjaya ditampan keluar penjaga gol Terengganu FC, Muhammad Rahadiazli Rahalim.

Selang seminit kemudian, pasukan tuan rumah memperoleh satu lagi peluang menerusi tandukan Leandro yang menyambut hantaran Muhammad Rafiuddin Roddin namun sekadar melewati palang gol.

Terengganu FC kemudiannya menggadakan asakan menerusi beberapa percubaan dan hasilnya pada minit ke-24 mereka berjaya membolosi gawang Perak menerusi rembatan Mohamad Faisal Abdul Halim menjadikan kedudukan 0-1.

Dalam pada itu jentera serangan Perak FC berjaya mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan namun peluang itu gagal dimanfaat pasukan tuan rumah itu selepas beberapa percubaan terkena pemain Terengganu FC.

Pada minit ke-43, Perak FC memperoleh peluang terbaik menyamakan kedudukan menerusi Careca namun sedikit melewati palang gol.

Keputusan 0-1 kekal sehingga tamat babak pertama perlawanan menyaksikan Terengganu FC dilihat lebih banyak menguasai perlawanan.

Bermula babak kedua, Terengganu FC membuat pertukaran pemain pertama dengan membawa masuk Mohamad Hakimi Abdullah menggantikan Mohamad Faisal.

Sementara itu, kad kuning pertama perlawanan dilayangkan oleh pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri ke atas pemain Perak FC, Amirul Azhan Aznan selepas mengasari pemain Terengganu FC.

Selang beberapa minit kemudian, pemain tengah Perak, Kenny Pallraj pula dilayangkan kad kuning selepas menjatuhkan pemain Terengganu FC.

Perak FC kemudiannya membuat dua pertukaran apabila Muhamad Farhan Roslan dikeluarkan dan diganti dengan Muhammad Adib Abdul Ra'op manakala Sergio Aguero menggantikan Muhammad Rafiuddin.

Pasukan pelawat juga turut membuat tiga lagi pertukaran pemain pada babak kedua perlawanan.

Perak FC kemudiannya mendapat peluang untuk menyamakan kedudukan namun percubaan penyerang, de Paula sekadar menggegar palang gol.

Asakan demi asakan oleh pemain Perak FC berjaya diserap anak buah Mohd Nafuzi yang bertahan sehingga tamat perlawanan.

Ketika permainan seolah berkesudahan 0-1, Terengganu FC berjaya menambah jaringan pada masa kecederaan melalui jaringan cantik pemain import mereka Dechi Marcel.

Tamat perlawanan Perak FC terpaksa akur dengan kekalahan pertama mereka dengan Terengganu FC yang berkesudahan 0-2.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!