X

Kindly register in order to view this article
!

KPPK usaha buka pejabat serantau di Arab Saudi

Mohd Khairuddin
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan membuka Pejabat Serantau Agrikomoditi Malaysia di Arab Saudi menerusi gabungan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pejabat serantau berkenaan akan dijadikan Hab Komoditi Malaysia bagi memperluas pasaran agrikomoditi negara ke benua Afrika dan Timur Tengah.

Menurutnya, ia berikutan masing-masing memiliki populasi penduduk seramai 1.34 bilion orang dan 457 juta orang.

“Pembukaan pejabat ini juga merupakan usaha KPPK dalam merealisasikan hasrat menjadikan produk komoditi Malaysia untuk menguasai pasaran di rantau termasuk produk oleokimia dan biobahan api pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Melalui strategi pembukaan pejabat serantau itu juga, beliau berkata, ia adalah penting bagi meningkatkan lagi penerimaan produk sawit Malaysia di pasaran global selaras dengan kempen Sawit Anugerah Tuhan yang dilancarkan pada 10 Februari lalu.

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk mempromosikan kelebihan dan kebaikan minyak sawit Malaysia kepada dunia dengan menggunakan elemen pendidikan sekali gus menangkis kempen antiminyak sawit,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan lawatan beliau ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 6 hingga 11 Mac lepas yang ternyata memberi manfaat kepada industri sawit.

“Arab Saudi telah menunjukkan komitmen untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia daripada 318,000 tan bernilai RM900 juta tahun lalu kepada 500,000 tan bernilai kira-kira RM1.5 bilion bagi tahun 2021,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!