Ujian calitan pemancing rumah bot Tasik Kenyir negatif

Ariffin (tiga dari kanan) melihat naskhah al-Quran yang disumbangkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas kepada penerima terpilih. Penyerahan dilakukan Sekretariat Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Hashim Anang (tiga dari kiri).
Ariffin (tiga dari kanan) melihat naskhah al-Quran yang disumbangkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas kepada penerima terpilih. Penyerahan dilakukan Sekretariat Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Hashim Anang (tiga dari kiri).
A
A
A

MARANG - Ujian calitan ke atas seorang penumpang rumah bot di Tasik Kenyir yang dipercayai menjadi kontak rapat pesakit positif Covid-19 disahkan negatif pada Ahad.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, selain kontak rapat itu, keputusan ujian calitan semua pemancing lain juga dilaporkan negatif.

Menurutnya, semua individu berkenaan kini menjalani perintah kuarantin wajib selama 10 hari di rumah masing-masing sebelum menjalani ujian calitan kedua pada hari kelapan nanti.

"Walaupun keputusan ujian calitan semua pemancing negatif, rumah bot yang dinaiki mereka tetap dinyahkuman sebagai langkah pencegahan," katanya ketika ditemui pada Misi Bantuan Pasca Banjir ke Terengganu oleh Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) di Alor Limbat di sini pada Ahad.

Pada majlis itu, sebanyak 27 keluarga yang terjejas banjir menerima bantuan barangan keperluan harian berupa beras, minyak dan gula hasil sumbangan MTC.

Selain itu, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas turut menyumbangkan 100 naskhah al-Quran melalui program wakaf al-Quran yang digerakkan oleh yayasan tersebut.

Mengulas lanjut, Ariffin memaklumkan kerajaan Terengganu bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi menyambut kehadiran pelancong ke negeri ini.

"Kita harap pelancong dapat mematuhi SOP dan kita sentiasa mengalu-alukan kehadiran mereka ke sini bagi merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERAITAN: Ujian calitan penumpang houseboat Tasik Kenyir belum disahkan

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan ujian calitan ke atas seorang penumpang houseboat di Tasik Kenyir yang dipercayai menjadi kontak rapat pesakit positif Covid-19 belum disahkan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Razali Idris berkata, orang ramai diminta lebih berwaspada terhadap berita tular yang mendakwa lelaki berkenaan positif Covid-19.

Tular di media sosial pada Jumaat mendakwa seorang daripada sekumpulan 24 pemancing yang bercuti ke Tasik Kenyir pada Khamis positif Covid-19.