337 individu ditahan langgar SOP

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 337 individu ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Sabtu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 289 telah dikenakan kompaun dan 48 direman.

Beliau berkata, kesalahan direkodkan membabitkan kegagalan mematuhi arahan penjarakan fizikal sebanyak 109 kes dan aktiviti pusat hiburan (72 kes).

"Selain itu, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan mencatatkan 55 kes, rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran ialah 42 kes, tidak memakai pelitup muka sebanyak 41 kes dan lain-lain kesalahan dicatatkan sebanyak 18 kes," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ismail Sabri menjelaskan, penahanan kesemua individu itu dilakukan hasil 68,046 pemeriksaan yang dilakukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, sebanyak 3,260 pasukan pematuhan yang melibatkan 14,768 anggota telah membuat pemantauan di 4,662 pasar raya, 6,120 restoran, 4,003 penjaja, 2,454 kilang, 3,234 bank dan 769 pejabat kerajaan.

Turut dipantau sebanyak 3,311 terminal pengangkutan darat, 1,748 terminal pengangkutan air serta 571 terminal pengangkutan udara.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, seramai tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Benteng semalam.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi operasi sama, sebanyak 264 sekatan jalan raya (SJR) turut dijalankan," katanya.

Katanya, operasi itu melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) serta agensi keselamatan lain.