PKPD di Kampung Lingkudau, Keningau mulai esok

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Lingkudau, Keningau, Sabah bermula esok (Isnin) hingga 28 Mac depan

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan peningkatan kes secara mendadak di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

"Sehingga 12 Mac lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan sebanyak 102 ujian saringan (di kawasan itu) dan daripada jumlah itu sebanyak 19 kes positif telah direkodkan.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD) di Kampung Lingkudau," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau memberitahu, pelaksanaan PKPD itu bertujuan memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk.

Katanya, langkah itu juga untuk mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, pelaksanaan PKPD di Kuarters Sri Jelutung, Mukim Bebar, Pekan, Pahang ditamatkan pada Ahad, iaitu lebih awal berbanding tarikh yang dijadualkan pada 19 Mac ini.

Menurutnya, sehingga kini, KKM telah melaksanakan sebanyak 80 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak empat kes telah direkodkan.

Artikel Berkaitan:

"KKM mengesahkan kesemua keputusan sampel kedua untuk kontak rapat seramai 76 orang didapati negatif dan tiada lagi sampel menunggu keputusan.

"Selepas membuat penilaian risiko, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kuarters Sri Jelutung," katanya.