Ordinan Darurat percepatkan penguatkuasaan

Takiyuddin (tengah, barisan depan) bergambar bersama ketua jabatan pelbagai agensi di Kedah selepas taklimat Program Malaysia Prihatin peringkat Negeri Kedah.
Takiyuddin (tengah, barisan depan) bergambar bersama ketua jabatan pelbagai agensi di Kedah selepas taklimat Program Malaysia Prihatin peringkat Negeri Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang diwartakan pada Jumaat akan mempercepatkan proses penguatkuasaan, penyiasatan dan pendakwaan penyebaran berita tidak benar berkaitan Covid-19 dan proklamasi darurat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan penguatkuasaan oleh pihak berwajib dapat diambil dalam tempoh 24 jam, berbanding prosedur biasa yang mengambil masa lama.

Menurutnya, antara keutamaan dalam ordinan berkenaan ialah apabila sesuatu berita itu disahkan sebagai berita tidak benar, ia perlu segera dipadamkan daripada laman media sosial.

"Jika pemilik akaun ingkar, kes itu boleh dibawa ke mahkamah," katanya selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin peringkat Negeri Kedah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Anak Bukit, pada Ahad.

Takiyuddin berkata, penguatkuasaan ordinan berkenaan dapat menyelesaikan banyak kes dalam tempoh singkat berbanding sebelum dikuatkuasakan.

"Melalui ordinan ini proses lebih cepat, seorang yang didapati memiliki satu berita tidak benar yang disahkan oleh satu badan pengesah, bila diarahkan turun atau padam berita itu, dia perlu lakukan dalam masa 24 jam, inilah caranya selepas ordinan dikuatkuasakan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, sebelum ordinan ini diwujudkan terdapat hampir 300 kes melibatkan aduan kepada polis dan SKMM berkaitan berita tidak benar.

“Oleh kerana undang undang yang ada memerlukan prosedur panjang untuk semak pemilik akaun dan sebagainya, ada kes ambil masa berbulan-bulan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat yang ditubuhkan bagi mengumpul petisyen supaya pengisytiharan darurat ditamatkan segera, Takiyuddin berkata ia tidak mempunyai autoriti dari sudut undang-undang bagi merealisasikan cadangan berkenaan.

“Ketetapan atau keputusan akhir mengenai tarikh penamatan tempoh darurat yang dikuatkuasakan hanya boleh dibuat Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021.

Hanya jawatankuasa itu mempunyai kuasa di bawah peruntukan undang-undang untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sama ada darurat ditamatkan lebih awal, ditamatkan pada tarikh ditetapkan 1 Ogos atau melanjutkannya,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya kerajaan bersikap terbuka terhadap cadangan termasuk daripada pembangkang dan perlu disuarakan menerusi saluran yang betul dan mengikut perundangan.

“Mereka boleh memberi cadangan melalui wakil yang dilantik membabitkan Ahli Parlimen pembangkang dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021.

Terpulang kepada Khalid menubuhkan jawatankuasa terbabit tetapi dari segi undang undang jawatankuasa itu tidak mempunyai kuasa perundangan,” katanya.

Takiyuddin turut menasihatkan semua pihak terutama ahli politik agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengelirukan berhubung Ordinan Darurat yang dikuatkuasakan sejak Februari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Khalid tubuh jawatankuasa kumpul petisyen tamat darurat

Pada Jumaat, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menubuhkan sebuah badan bebas dikenali Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat dengan melancarkan petisyen mohon darurat ditamatkan segera.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa tersebut menjelaskan tidak berhasrat mengajak rakyat turun ke jalan raya sebaliknya merayu rakyat yang prihatin untuk menurunkan tandatangan di laman web mereka.

Jawatankuasa berkenaan turut dianggotai Naib Presiden PKR, Tian Chua; Anggota Jawatankuasa Pusat DAP, Teresa Kok dan Jawatankuasa Penaja Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Mutalib Othman.