Mohd Shafie gesa SPR tegas laksana hak mengundi 18 tahun

MOHD SHAFIE
MOHD SHAFIE
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih tegas berhubung pelaksanaan hak mengundi dan menjadi calon pilihan raya pada umur 18 tahun.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, SPR perlu mengadakan lebih banyak libat urus dengan semua pemegang taruh termasuk daripada parti pembangkang dalam kerangka untuk menjayakan Undi 18 tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pemimpin politik.

"Sebarang penangguhan dalam proses ini pasti akan menjejaskan mood anak muda untuk turu terlibat dalam pemulihan sistem demokrasi di negara kita," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu turut meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak merampas hak anak muda sebagai calon dan pengundi kerana ia hadiah terbaik pentadbiran sebelum ini membabitkan golongan itu.

"Kejayaan ini terakam pada 25 Julai 2019 selepas Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, 10 hari selepas ia diluluskan sebulat suara di dalam Dewan Rakyat," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Shafie mendakwa kerajaan PN hari kini dilihat berdolak-dalik dengan undang-undang itu walaupun ia telah diwartakan pada September 2019.

"Tindakan kerajaan PN memberi bayangan bahawa anak muda dianggap tidak penting kepada amalan sistem demokrasi dalam negara.

"Pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik dapat memberi rangsangan kepada anak muda untuk turut sama menyumbang dalam membuat keputusan besar seperti pembentukan sesebuah kerajaan dan memilih kepimpinan negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Mohd Shafie berkata, kerajaan PN sepatutnya menggunakan peluang itu untuk menggalakkan 4.2 juta anak muda yang berusia 21 tahun dan ke atas yang dilaporkan layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pengundi.

"Saya yakin dengan kematangan dan pertimbangan anak muda dalam membuat keputusan mereka di peti undi. Ia bukan persoalan memberikan kebebasan kepada mereka ini adalah persoalan hak mereka yang telah dirampas dan wajar dikembalikan," katanya.