Jadikan fatwa diputuskan institusi Islam sebagai panduan utama

Kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Ahad
Kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Ahad
A
A
A

SHAH ALAM – Fatwa dan pandangan hukum yang ditetapkan institusi Islam yang diiktiraf di negara ini harus dijadikan panduan utama dalam isu kalimah ALLAH SWT.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, meskipun semua orang berhak memberikan pandangan, fatwa daripada institusi berkenaan adalah pemutus dan harus dijadikan panduan serta keutamaan.

“Sememangnya semua berhak memberikan pandangan agama dalam isu Kalimah ALLAH termasuk individu-individu yang mewakili pelbagai organisasi NGO mahupun parti-parti politik.

“Bagaimanapun, harus diingat prinsip Islam sebagaimana yang digariskan dalam kaedah fekah berikut mengisyaratkan bahawa akhirnya fatwa atau pandangan hukum yang harus diutamakan adalah yang ditetapkan oleh institusi Islam yang diiktiraf Pemerintah ‘Ulil Amri’.

“Fatwa institusi inilah yang bersifat pemutus dan harus dijadikan panduan utama” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebooknya pada Ahad.

Asyraf turut berkongsi pautan fatwa-fatwa institusi-institusi agama di peringkat Persekutuan dan negeri.

Ini termasuk Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia serta Fatwa Jawatankuasa Fatwa Negeri bagi Wilayah Persekutuan;Negeri Sembilan; Terengganu; Perak; Melaka; Kedah; Pulau Pinang; Johor; Pahang dan Selangor.

Kesemua itu memutuskan bahawa lafaz kalimah ALLAH SWT merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga dengan Bahagian Jadual Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Ugama Bukan Islam Kelantan 1981 yang menyenaraikan ALLAH SWT sebagai salah satu daripada 24 perkataan yang tidak boleh dikaitkan dengan ugama bukan Islam.

Justeru beliau berkata, adalah lebih baik semua orang merujuk fatwa yang telah diputuskan di peringkat Persekutuan dan terutama negeri yang berkuasa penuh dalam hal ehwal agama Islam.

“Ketetapan yang diputuskan pemerintah, mengangkat segala kekhilafan (perbezaan pandangan),”katanya.