Isu kalimah ALLAH: Pas mohon kerajaan buat rayuan

Tuan Ibrahim (dua dari kanan) selepas hadir pada Majlis Cabutan Kerja Undi di bawah peruntukan KASA di Wisma Darul Iman pada Ahad.
Tuan Ibrahim (dua dari kanan) selepas hadir pada Majlis Cabutan Kerja Undi di bawah peruntukan KASA di Wisma Darul Iman pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas memohon kerajaan membuat rayuan semakan semula keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu bukan bermaksud Pas tidak menghormati keputusan mahkamah sebaliknya ia hanya proses biasa selepas sesebuah keputusan mahkamah diputuskan.

Menurutnya, keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira sensitiviti masyarakat Islam negara ini.

"Kita sudah buat keputusan di peringkat parti supaya kerajaan membuat rayuan terhadap keputusan itu dan kita juga hormati hak mahkamah dalam membuat keputusan.

"Apa yang penting pada kita adalah undang-undang tidak melihat soal sentimen, emosi dan kita tengok reaksi masyarakat Islam dalam isu ini sangat serius. Sebab itu, kita minta kerajaan buat rayuan supaya dapat semak kembali keputusan.

"Harapan kita perkara ini tidak perlu dijadikan isu yang boleh menimbulkan polemik. Peraturan mahkamah kita hormati tapi prosedur yang ada kita gunakan sepenuhnya," katanya pada Majlis Cabutan Kerja Undi di bawah peruntukan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di Wisma Darul Iman pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah Tinggi benarkan penganut Kristian guna kalimah ALLAH

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata demikian bagi mengulas keputusan mahkamah yang membenarkan penggunaan kalimah ALLAH dalam kalangan penganut Kristian.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tuan Ibrahim memaklumkan Pas akan menghantar surat kepada Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah bagi melahirkan kekesalan berhubung kenyataannya melabelkan Pas sebagai pelacur politik.

Menurut beliau, walaupun kenyataan itu disifatkan sebagai pandangan peribadi, namun ia tidak boleh dipandang ringan berikutan kedudukan Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li dalam UMNO.

"Saya melihat isu ini pandangan peribadi beliau bukan mewakili parti tapi kerana kedudukan dia tinggi kita ambil perhatian. Kalau cuma ahli biasa kita buat tidak tahu saja.

"Sebagai penasihat beliau harus jadi penasihat bukan punahsihat. Bagaimanapun hubungan parti tidak terjejas kerana itu hanya pandangan peribadi, bukan pendirian parti," katanya.

Tengku Razaleigh dalam satu wawancara dengan sebuah portal berita melabelkan Pas sebagai 'pelacur politik' yang perlu ditewaskan pada pilihan raya umum akan datang.

Veteran UMNO itu menyifatkan tindakan Pas dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini sebagai bukti parti berkenaan tidak boleh dipercayai.