Pas tidak faham maksud ‘pelacur’ dilabel Ku Li

Takiyuddin Hassan - Foto Bernama
Takiyuddin Hassan - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Pas tidak memahami maksud istilah ‘pelacur’ yang dilemparkan terhadap parti itu oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sehubungan itu pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang komen berhubung kenyataan pemimpin veteran UMNO itu.

Menurutnya, pihaknya tidak pasti apa yang dimaksudkan oleh Tengku Razaleigh apabila membuat tuduhan seperti itu.

"Kami orang Pas tidak faham apa itu pelacur, jadi saya tidak boleh komen. Apa itu pelacur, kita tidak faham maksud beliau," katanya.

Takiyuddin berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin peringkat Negeri Kedah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Anak Bukit, pada Ahad.

Tengku Razaleigh dilaporkan melabel Pas sebagai 'pelacur' dan menggesa UMNO menewaskan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tengku Razaleigh dalam temu bual bersama sebuah portal berita menggelar Pas sebagai ‘pelacur’ kerana sering kali beralih sokongan antara DAP dan Semangat 46, iaitu parti serpihan UMNO yang diterajuinya.

Pada Sabtu, Timbalan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya rela dituduh pelacur dan parti politik kecil demi mempertahankan perpaduan ummah berbanding menjadi 'pelacur politik dan kuasa' kerana rakus menggadai maruah agama dan bangsa untuk kehendak peribadi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak bersetuju dengan kenyataan Tengku Razaleigh itu yang disifatkan hanya mengeruhkan lagi hubungan dua parti terbesar Melayu itu.

Beliau menegaskan UMNO dan Pas sepatutnya mencari kebersamaan dan mencapai kesepakatan bagi meyakinkan rakyat tentang penyatuan kedua-dua parti terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN 'Kami rela dituduh pelacur demi pertahankan perpaduan ummah’