KPPK usaha buka pejabat serantau di Jeddah

Usaha KPPK membuka pejabat di Jedddah itu bertujuan memastikan produk komoditi Malaysia dapat menguasai pasaran di rantau berkenaan.
Usaha KPPK membuka pejabat di Jedddah itu bertujuan memastikan produk komoditi Malaysia dapat menguasai pasaran di rantau berkenaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dalam usaha untuk membuka Pejabat Serantau Agrikomoditi Malaysia merangkumi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) di Jeddah, Arab Saudi susulan kepada potensi pasaran yang tinggi.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pejabat serantau ini akan dijadikan Hab Komoditi Malaysia untuk memperluaskan pasaran agrikomoditi negara ke benua Afrika dan Timur Tengah yang masing-masing mempunyai jumlah penduduk seramai 1.34 bilion orang dan 457 juta orang,

“Pembukaan pejabat ini merupakan usaha KPPK dalam merealisasikan hasrat menjadikan produk komoditi Malaysia untuk menguasai pasaran di rantau itu termasuk produk oleokimia dan biobahan api pada masa depan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Perkembangan ini susulan daripada pertemuan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan negara itu di Istana Al-Yamamah yang telah memberi peluang kepada syarikat negara ini untuk mengeksport minyak sawit dalam kuantiti yang lebih besar.

“Hubungan antarabangsa melalui strategi pembukaan pejabat serantau seperti ini penting untuk meningkatkan lagi penerimaan produk sawit Malaysia dalam pasaran global,” kata Mohd Khairuddin.

Arab Saudi telah menunjukkan komitmen untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia daripada 318,000 tan bernilai RM900 juta pada tahun lepas kepada 500,000 tan bernilai kira-kira RM1.5 bilion bagi 2021.

Katanya, kementerian mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Perdana Menteri atas kejayaan rundingan antara Malaysia dan Arab Saudi dalam pelbagai perkara termasuk mempromosikan industri sawit negara terutamanya untuk meningkatkan pasaran minyak sawit Malaysia ke negara itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: