X

Kindly register in order to view this article
!

Selangor teliti isu tarik balik telur dari ladang Jeram

Kerajaan Selangor akan meneliti tindakan Singapura yang mengarahkan empat pengimport menarik balik pasaran telur yang dihasilkan di sebuah syarikat tempatan di Jeram, Kuala Selangor. Gambar hiasan.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan meneliti tindakan Singapura yang mengarahkan empat pengimport menarik balik pasaran telur yang dihasilkan di sebuah syarikat tempatan di Jeram, Kuala Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu perlu disemak dengan teliti kerana melibatkan isu dagangan antara dua negara.

“Itu (tindakan Singapura tarik balik pasaran telur) kena tengok balik kerana ia melibatkan trade antara dua negara.

"Saya akan semak balik,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai perkara berkenaan.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Pasar Moden Sri Muda Shah Alam di Seksyen 25, pada Ahad.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu; Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim.

Singapura pada Sabtu telah mengarahkan empat pengimport menarik balik pasaran telur yang dihasilkan di sebuah syarikat di Jeram, Kuala Selangor sebagai langkah berjaga-jaga.

Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam laman sesawang mereka menyatakan arahan itu dibuat berikutan penemuan Salmonella Enteritidis (SE) pada produk tersebut yang boleh menyebabkan penyakit jika dimakan secara mentah atau separuh masak.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini (Ahad) turut menasihati pengguna agar tidak melakukan pembelian panik telur sehingga mengganggu bekalan di negara ini.

Katanya, saranan itu susulan laporan penarikan balik telur keluaran sebuah syarikat Malaysia daripada pasaran Singapura.

Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang membuat penilaian kesan terhadap bekalan telur di pasaran domestik dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Kementerian Kesihatan (KKM).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!