Isu telur: Jangan buat pembelian panik

a, KPDNHEP juga menasihati peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga telur.
a, KPDNHEP juga menasihati peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga telur.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik ke atas telur berikutan laporan penarikan balik barangan makanan itu dikatakan keluaran sebuah syarikat Malaysia daripada pasaran Singapura.

KPDNHEP dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang membuat penilaian kesan ke atas bekalan telur di pasaran domestik dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, setiap kementerian sedang bertindak mengikut bidang kuasa masing-masing.

“Fokus tindakan di bawah KPDNHEP adalah pemantauan rapi terhadap kedudukan bekalan telur di pasaran susulan daripada isu penemuan tersebut.

“Pemantauan bekalan dipertingkatkan di setiap rantaian pengedaran dan pembekalan telur untuk mengesan kawasan-kawasan yang dijangka terjejas keberadaan bekalan telur,” menurut kenyataan itu pada Ahad.

Pada Sabtu, Singapura telah mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik pasaran telur yang dihasilkan dari sebuah syarikat di Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga.

Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam laman sesawang mereka menyatakan, arahan itu dibuat berikutan penemuan Salmonella Enteritidis (SE) pada produk terbabit yang boleh menyebabkan penyakit disebabkan makanan, jika makanan itu dimakan secara mentah atau separuh masak.

Dalam pada itu, KPDNHEP turut mengadakan sesi Iibat urus bersama pemain industri dan pengeluar ayam dalam negara untuk siap siaga menjalankan proses pengeluaran bekalan telur.

Artikel Berkaitan:

“Ini bertujuan bagi menampung sebarang risiko gangguan bekalan telur dalam negara sekiranya berlaku,” katanya.

Dalam perkembangan sama, KPDNHEP juga menasihati peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga telur.

Menurutnya, jika peniaga berbuat demikian, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Mereka juga boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 sekiranya suatu perbadanan atau syarikat. Bagi bukan perbadanan atau individu pula, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, KPDNHEP meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan salah laku peniaga yang melanggar undang-undang berkenaan.

“Mereka boleh salurkan maklumat ini melalui portal e-aduan.kpdnhep ataupun aplikasi Whatsapp di talian 019-2794317,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Singapura tarik balik telur punca penyakit dari Malaysia