Keputusan UMNO tidak berubah: Ahmad Maslan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO memaklumkan tidak ada sebarang perubahan terhadap keputusan yang dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berhubung kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan kepada Sinar Harian pada Ahad.

"Keputusannya serupa sahaja. Tidak ada apa-apa perubahan terhadap keputusan itu. Yang ahli-ahli MKT komen, itu tidak rasmi.

"Lihat kepada kenyataan media rasmi UMNO yang saya keluarkan," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan Sinar Harian bahawa PN mengajak UMNO untuk kembali ke meja rundingan bagi membincangkan sekurang-kurangnya 13 kerusi Parlimen yang menjadi salah satu punca keretakan dalam kerjasama dua parti berkenaan.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, UMNO tidak seharusnya memusnahkan kerjasama yang dibina bersama sejak setahun lalu.

Pada 4 Mac lalu, UMNO menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Ahmad menyatakan tidak ada kerjasama membabitkan parti itu dengan Bersatu untuk PRU15.

Dalam kenyataan itu juga, UMNO berpendapat, kebersamaan dalam kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Artikel Berkaitan: