Ordinan berita palsu bukan susahkan rakyat

Mohamed Fared menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang penjaga kecil yang terjejas akibat Covid-19.
Mohamed Fared menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang penjaga kecil yang terjejas akibat Covid-19.
A
A
A

KOTA BHARU - Pewartaan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021 bukanlah untuk menyusahkan rakyat tetapi langkah serius kerajaan menyekat penularan berita palsu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, rakyat seharusnya memahami kepentingan penguatkuasaan ordinan terbabit walaupun masih baharu.

"Kita tahu sekarang ini pelbagai cerita yang tersebar. Kadang-kala lebih banyak berita palsu daripada perkara yang sahih dikongsikan sebelum disahkan.

"Kerajaan bukan mahu menyusahkan rakyat, tetapi ini sebagai 'hukuman' kepada kumpulan yang ekstrem menyebarkan maklumat tidak benar sehingga menimbulkan kebimbangan awam," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau yang juga Ketua Bersatu Kota Bharu ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan sempena Majlis Menyantuni Peniaga Kecil Terjejas Pandemik Covid-19 kepada 45 peniaga kecil di Tanjong Chat.

Hadir sama, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu, Anuar Rajib, Naib Ketua Bahagian, Rujhan Ab Rahman dan Ketua Sri Kandi Bahagian, Rozainee Nawawi serta Timbalan Ketua Armada Bahagian, Abdullah Alwi.

Menurut Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang diwartakan pada Khamis lalu individu yang menyebarkan berita palsu 'dengan cara apa pun, dengan niat untuk menyebabkan atau yang mungkin menimbulkan ketakutan atau kebimbangan kepada awam' boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.

Ordinan menyatakan bahawa mahkamah boleh memerintahkan penghapusan penerbitan jika dianggap sebagai berita palsu.

Artikel Berkaitan:

Warta itu mendefinisikan berita palsu sebagai 'sebarang berita, maklumat data dan laporan yang keseluruhannya atau sebahagiannya adalah palsu yang berhubungan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea'.

Mohamed Fared juga menasihatkan masyarakat tidak terburu-buru berkongsi sebarang maklumat yang diterima dan perlu sedar bahawa kerajaan telah menguatkuasakan ordinan tersebut.